Categories
PBT SELANGOR

MPK guna sumbangan 99 Speedmart cantikkan Klang

SHAH ALAM, 29 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menggunakan sebahagian sumbangan RM550,000 yang diterima daripada 99 Speedmart untuk membersihkan bandar diraja itu.

Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, sumbangan itu tepat pada masanya selain memuji usaha pasar raya terbabit sebagai sokongan terhadap kempen bebas plastik dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kami berbesar hati kerana 99 Speedmart memilih MPK sebagai penerima pertama,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MPK, baru-baru ini.

Pada masa sama, Adi Faizal berkata, sumbangan itu akan dimanfaatkan untuk mencantikkan Sungai Klang dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan.

Katanya, wang berkenaan juga akan digunakan untuk menyokong program Tahun Melawat Klang 2017.

ADI MPK“Kami sudah menyediakan beberapa program Melawat Klang untuk menjadi tarikan pelancong tempatan baik dalam mahupun luar negara,” katanya.

Selain MPK, pasar raya terbabit juga akan menyerahkan sumbangan sama kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Terdahulu, 99 Speedmart menyerahkan RM550,000 kepada MPK hasil kutipan caj 20 sen yang dikenakan terhadap pengguna bagi setiap pembelian beg plastik.