Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN tunggu keputusan muktamad

SHAH ALAM, 29 APRIL: KEADILAN menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan PAS untuk menentukan tahaluf siyasi dengan parti itu, kata bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, KEADILAN menghormati prinsip dan keputusan yang bakal dibuat, namun menegaskan tetap mempunyai hubungan baik dengan parti Islam itu.

“Terpulang (kepada PAS) tetapi kita ada hubungan baik dengan mereka,” katanya ringkas selepas prosiding di Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam, di sini, semalam.

Sementara itu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya masih menunggu keputusan muktamad Majlis Syura Ulamak PAS.

Katanya, setakat ini KEADILAN tidak mempunyai masalah berhubung kerjasama dengan parti itu di Selangor.

“Kita lihat dulu apa keputusan Majlis Syura. Dari segi kerja tiada masalah, cuma polisi perlu tunggu keputusan muktamar,” katanya.