Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PREC, Bazaar Paknil tambah 20% pengunjung Kompleks PKNS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 APR: Hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan Shah Alam sebagai Kota Seni terus diperkembangkan lagi PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dengan mewujudkan Bazaar Paknil di Kompleks PKNS, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Abdul Ghani, menjangkakan pertambahan 20 peratus pengunjung ke Tempat Orang Lokal (TOL) di kompleks itu.

Katanya, TOL sebuah projek tranformasi yang dilakukan PREC bagi menjenamakan semula dan menaik taraf kompleks yang berusia lebih 40 tahun itu.

BAZAAR PAK NIL (2)“Ketika tahun 80an, kompleks ini sangat terkenal dan bagi mengembalikan kegemilangannya, usaha ini diteruskan. Kita mahu kompleks ini menjadi ikon, sekali gus lebih dikenali pengunjung lebih lagi ketika ini menjadi ‘top 3’ menjelang Ramadan.

“TOL bertujuan mengembangkan perniagaan mereka dengan kadar berpatutan dan suasana yang menonjolkan konsep hipster. Ia tempat bermula bagi usahawan baru lokal yang berani mengambil cabaran demi merealisasikan impian mereka.

“Dengan landasan yang disediakan PREC, diharapkan ia mampu memberikan pengalaman secukupnya. Seterusnya, TOL mampu melahirkan lebih ramai usahawan lokal yang berjaya dan berdaya saing,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas pemilihan pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi sebagai jenama mewujudkan Bazaar Paknil, Fakru Radzi berkata, PREC mahu menangani krisis kekurangan tempat beraksi bagi pengiat seni.

BAZAAR PAK NIL (6)“PREC mahukan muzik berkolaborasi dengan perniagaan, sekali gus memberi peluang pengiat seni tampil. Pada masa sama, membantu memperkenalkan produk usahawan muda.

“Pemilihan datuk dicetuskan apabila PREC melihat kejayaan ‘hashtag’ Bazaar Paknil yang memuat naik 15 juta di media sosial. Oleh itu, kita menghantar kertas cadangan kepada beliau dan dipersetujuinya,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik usaha Aznil yang mahu mengembangkan Bazaar Paknil di negeri lain termasuk Singapura, sekali gus berbangga usahanya itu menjadi ikutan pusat membeli-belah lain.

Bazaar Paknil yang menjadi tumpuan utama di Pusat Inkubator, TOL kini menempatkan 35 lot perniagaan yang dipenuhi vendor terkenal antaranya Zapatos Zain Saidin, Hatta Dolmat, Naelofar Hijab dan Anell by Aznil Nawawi.

-NFN-