Categories
SELANGOR

Bazaar Paknil lanjutan kejayaan 15 juta #bazaarpaknil

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 APR: Pengacara Tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi menyambut baik usaha PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) yang mahu mengembalikan kegemilangan Kompleks PKNS dengan mewujudkan Bazaar Paknil di rantaian tapak perniagaan Tempat Orang Lokal (T.O.L).

Beliau berkata, usaha itu turut memperkukuhkan gelaran usahawan yang disandangnya sejak melancarkan jenama penjagaan muka ‘Anell’ tahun lalu.

“Kesempatan membuka bazaar ini muncul apabila Ketua Pegawai Eksekutif PREC, menawarkan ruang perniagaan bagi peniagaan yang baru diubahsuai di T.O.L ini.

“Dengan berkonsepkan ‘hip dan trendy’, ruang yang ditawarkan kepada peniaga secara kontrak tiga bulan sekali membolehkan lebih ramai peniaga dapat merasai berniaga di premis ini.

BAZAAR PAK NIL (4)“Ini bermakna lebih ramai usahawan dapat berada di bawah jenama Bazaar Paknil dan pelbagai jenis perniagaan dapat ditawarkan setiap kali,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Bazaar Paknil di Kompleks PKNS, di sini.

Aznil berkata konsep Bazaar Paknil itu tercetus dari idea hashtag #bazaarpaknil yang diperkenalkan empat tahun lalu di Instagram dan Facebook menjangkaui 15 juta hashtag.

“Melihat kepercayaan peniaga online ke atas hashtag itu di media sosial, saya terpanggil membuka ruang perniagaan bagi peniaga meraih keuntungan berniaga secara fizikal di bawah jenama Bazaar Paknil,” katanya.

Beliau turut mahu pengunjung dari negeri lain yang datang ke Selangor menjadikan T.O.L sebagai tempat wajib dikunjung.

“Sejak pembukaannya 15 Mac lalu, Bazaar Paknil dapat menarik pengunjung bukan sahaja di negeri ini tetapi juga negeri lain,” katanya.

Bazaar Paknil yang menjadi tumpuan utama di Pusat Inkubator, T.O.L kini menempatkan sebanyak 35 lot perniagaan yang dipenuhi vendor terkenal antaranya Zapatos Zain Saidin, Hatta Dolmat, Naelofar Hijab, Anell by Aznil Nawawi.

BAZAAR PAK NIL (2)Aznil turut menganjurkan pertandingan karaoke santai yang dikenali sebagai ‘Karoks @ Lalak Land’ yang menawarkan wang tunai RM1,000 setiap minggu kepada juara mingguan dan tambahan RM3,000 bagi juara keseluruhan di pusingan akhir.

Selain itu, pencarian Raja Lelong juga diadakan untuk orang ramai memenangi wang tunai RM500 setiap Sabtu pukul empat petang dalam acara pertandingan lelong barang yang dikenali sebagai ‘Lelong @ Lelong Land’.

Kemeriahan setiap hujung minggu dengan kehadiran artis terkenal antaranya Ifa Raziah, Ronnie Hussein, Didie Alias, Khai Bahar dan Elly Mazlein.

-nR-