KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Sultan Muhammad V hari ini ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, untuk memerintah Malaysia bagi tempoh lima tahun.
Istiadat Pertabalan di Istana Negara mengikut warisan Kesultanan Melayu itu adalah bagi menguar-uarkan kepada seluruh dunia bahawa Malaysia mempunyai ketua negara baharu berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan.
Sultan Muhammad V, 47, sebelum ini melafaz sumpah memegang jawatan itu, pada 13 Disember lalu, bagi menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu”adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada tarikh itu.
Malaysia adalah satu daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja dan sistem penggiliran pemerintahan itu adalah satu-satu yang seumpamanya di dunia.
Istiadat Pertabalan itu disaksikan kira-kira 800 tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri dan pemimpin.
Turut menyaksikan acara gilang-gemilang itu ialah tetamu kehormat daripada ketua diplomat asing dan ketua jabatan kerajaan.
Tiupan serunai diiringi paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D”Raja Kelantan yang memainkan lagu “Raja Bertabal” berkumandang di dalam Balairung Seri, Istana Negara, sebaik sahaja Sultan Muhammad V menyempurnakan lafaz ikrar Yang di-Pertuan Agong Ke-15.
Ia disusuli dengan laungan “Daulat Tuanku!” sebanyak tiga kali oleh Datuk Paduka Maharaja Lela, Istana Negara Mej Jen (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah dan disahuti para hadirin di dalam Balairung Seri yang diadakan dengan penuh adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu.
Sejurus laungan itu, lagu “Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia dan berserentak dengan itu tembakan meriam sebanyak 21 das.
Terdahulu, Istiadat Pertabalan itu dimulakan sebaik keberangkatan masuk Sultan Muhammad V ke Balairung Seri dengan diiringi tiupan serunai dan paluan gendang oleh Pasukan Gendang Besar D”Raja Kelantan yang mengalunkan lagu “Raja Berangkat.”
Keberangkatan masuk baginda didahului Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, serta diapit panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama selain diiringi juruiring baginda dan panglima lain yang membawa alat kebesaran Diraja.
Sumber: BERNAMA