Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MBPJ tubuh pasukan SEDAR cegah denggi

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mewujudkan pasukan SEDAR (Searh and Destroy) bagi menangani isu denggi di sekitar kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, penubuhannya bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan sukarelawan berkenaan wabak itu serta langkah kawalan.

“Pasukan ini diwujudkan di kawasan Menara MBPJ, Dewan Sivik, Stadium MBPJ, Dewan Serbaguna MBPJ dan taman rekreasi.

“Jabatan Kesihatan MBPJ akan berperanan memastikan sasaran sifar pembiakan jentik-jentik dicapai di premis MBPJ, sekali gus mengurangkan kes wabak denggi secara berpanjangan di lokaliti itu,” katanya ketika Majlis Perasmian Pasukan SEDAR, baru-baru ini.

Beliau berharap kerjasama pasukan SEDAR dan kakitangan Jabatan Kesihatan dapat dieratkan serta sentiasa mendapat informasi dari semasa ke semasa.

IMG_3355Pada masa sama, Mohd Azizi mahu pasukan itu melaksanakan aktiviti sekali seminggu dengan menjalankan pemeriksaan persekitaran untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan jentik-jentik.

Katanya, pasukan itu juga perlu melaporkan aktiviti mereka melalui aplikasi ‘whatsapp’ setiap minggu.

Pasukan SEDAR pertama ditubuhkan pada 30 November 2014 di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai dan bertambah sehingga 77 kumpulan, pada tahun ini.

Untuk rekod, sebanyak 25 kawasan wabak dengan 16 lokaliti wabak terkawal, dua lokaliti wabak tidak terkawal dan tiga lokaliti hotspot dikenal pasti.