Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada isu berat sebelah bantuan pesawah

SHAH ALAM, 19 APRIL: Tiada isu berat sebelah terhadap penyaluran bantuan kepada pesawah yang terkesan ekoran serangan wabak Hawar Daun Bakteria (BLB).

Justeru, Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kenyataan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos kononnya bantuan tidak diagihkan secara adil hanya fitnah.

“Memang dakwaan (Jamal) tidak betul dan bersifat tohmahan. Untuk makluman, edaran dibuat berdasarkan bancian dijalankan Jabatan Pertanian Negeri berkenaan kadar kerosakan hasil tani.

“Bantuan pula disalurkan kepada pengusaha dan bukannya pemilik sekitar 15,000 (hasil semakan awal),” katanya ringkas kepada SelangorKini.

Memetik laporan Sinar Harian, Jamal mendedahkan wujud agihan bantuan bersifat politik dan tidak disalurkan kepada pesawah di kawasan terlibat.

Bagaimanapun, Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan bantuan RM8.5 juta sebagai inisiatif berkebajikan pengusaha walaupun keperluan itu sebenarnya di bawah bidang kuasa pentadbiran Putrajaya.

Zaidy Abdul Talib (1)Serangan BLB sejak awal Januari lalu menyebabkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar di Sabak Bernam musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Serangan itu dikatakan paling teruk berlaku pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

Setakat ini tiada kawalan ampuh mampu menghalang serangan BLB yang boleh dibawa manusia, peralatan dan angin.

-AA-