Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M: Keputusan Peguam Negara bebaskan Najib tak boleh diterima

SHAH ALAM, 17 APR: Bekas Perdan Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membebaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berhubung skandal derma RM2.6 bilion tidak boleh diterima kecuali aliran wang itu dikemukakan.

“Sekadar surat pengakuan oleh penderma yang bermurah hati tidak memadai. Begitu juga dengan keputusan Peguam Negara bahawa tiada sebarang salah laku boleh diterima tanpa semua rekod yang dinyatakan,” katanya lapor MalaysiaKini yang dipetik dalam catatan terbaru dalam blog Mahathir, hari ini.

Pada Januari 2016, Apandi mengisytiharkan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung skandal derma itu yang menyaksikan wang AS$681 juta dipindahkan ke akaun bank peribadi beliau.

tun-mPeguam Negara juga berkata, wang berkenaan adalah sumbangan daripada ahli keluarga diraja Saudi berdasarkan dokumen dikemukakan uruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,

Apandi seterusnya memaklumkan bahawa Najib sudah memulangkan AS$620 juta kepada penderma itu semula, namun ia dipertikaikan pengkritik Najib yang memetik saman pelucuthakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan 1MDB.

Saman DOJ mendakwa, wang AS$681 juta yang berada di akaun Najib yang dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1′ (MO1) dalam dokumen itu adalah dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Identiti Najib sebagai MO1 disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan DOJ turut mendakwa dana AS$620 juta kemudiannya disalurkan ke akaun bank Singapura Tanore Finance Corporation.

Mahkamah Singapura sebelum ini juga mendapati bahawa akaun Tanore itu dikawal jutawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low.

“Jelas sekali penyiasat boleh menjejaki rekod pergerakan AS$681 juta termasuk pemulangan AS$620 juta kepada raja Arab yang bermurah hati itu.

“Kerahsiaan perbankan tidak seharusnya menghalang penyiasatan oleh pihak berkuasa kerajaan yang menyiasat perbuatan jenayah,” kata Mahathir.

Najib berulang-kali menafikan beliau menyalahgunakan dana 1MDB dan berkata dakwaan itu dibuat oleh mereka yang ingin menjatuhkannya.