Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UIAM naib juara Debat Bahasa Arab Antarabangsa

SHAH ALAM 13 APRIL: Pasukan debat Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapat tempat kedua pada Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa 2017 ke-4 untuk kategori terbuka yang berlangsung di Doha, Qatar.

Perkara demikian dinyatakan dalam satu kenyataan media dikeluarkan UIAM hari ini.

Kejohanan itu berlangsung selama lima hari bermula daripada 8 April hingga 12 April.

Pasukan debat daripada Universiti Qatar dinobatkan sebagai juara setelah bertemu UIAM pada pusingan akhir. Universiti Qatar dan UIAM berentap dalam kategori penutur bahasa arab.

Salah seorang wakil UIAM, Muhammad Nurfirman Mohamed tersenarai sebagai pendebat ketiga terbaik bagi kategori bukan penutur bahasa arab.

Pada pusingan akhir itu, tajuk yang diberikan ialah “Dewan ini percaya bahawa kelompok muslim sederhana wajar untuk memohon maaf dan mengkritik segala bentuk keganasan di atas nama Islam”.

Untuk format pertandingan akhir ini, pasukan diberikan tajuk setengah jam sebelum pertandingan dan akan dikuarantin setengah jam berikutnya untuk mereka berbincang untuk mengumpul hujah.

Mereka juga sama sekali tidak dibenarkan menggunakan alat peranti seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk mencari jawapan. Setiap orang diberikan masa sebanyak tujuh minit untuk menyampaikan hujah kepada pihak lawan.

Pertandingan ini merupakan debat Bahasa Arab yang paling berprestij dengan penyertaan lebih dari negara seperti Palestin, Oman, Arab Saudi, Ameriah Arab Bersatu(UAE) dan ramai lagi. Pertandingan debat Bahasa Arab paling besar didunia dengan penyertaan lebih dari 80 universiti dari 46 negara.

Pertandingan yang bertaraf dunia ini diadakan dua tahun sekali bertujuan mengumpulkan pendebat muda berbahasa Arab dan bukan berbahasa Arab dari Eropah, Amerika Utara, Afrika, Timur Tengah, dan Asia Tengah.

Buat julung kalinya, pasukan ini diwakili oleh empat anak melayu yang merupakan bukan penutur asal bahasa Arab berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Pendebat berkenaan terdiri daripada Abd Rahim Elias, Mohamad Ikmal Hakimi Mohamad Helmi, Muhammad Nazri Rostam dan Muhammad Nurfirman Mohamed yang mewakili Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

UIAM DEBAT TEAMKeempat mereka yang tidak pernah mengikuti kursus Bahasa Arab di mana-mana negara Arab sebelum ini telah mengejutkan banyak nama-nama besar dalam arena debat bahasa Arab seperti Universiti Khartoum (Sudan), Universiti Sultan Qaboos (Oman) dan Universiti Birzeit (Palestin) sebelum melangkah ke peringkat akhir.

Untuk rekod, sepanjang penganjuran Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti Antarabangsa ini, belum pernah ada pasukan yang diwakili oleh bukan penutur asal bahasa Arab berjaya menjejakkan kaki ke peringkat akhir ketegori terbuka.

Pasukan UIAM mengharungi lima pusingan dan berjaya mengalahkan Universiti Sultan Qobus dari Oman di pusingan octo, 3-0 bagi mendapatkan tempat sebagai 16 pasukan terbaik dari 88 buah pasukan yang bertanding.

UIAM mencatatkan keputusan yang sangat baik dengan berada di tangga yang ke 9 dari 16 pasukan yang layak ke pusingan kalah mati.

Di pusingan suku akhir, UIAM sekali lagi mengalahkan pasukan lawan, Universiti Khortoum dari Sudan, 4-1 bagi melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Pasukan debat Bahasa Arab UIAM berjaya mara ke peringkat akhir setelah menewaskan pasukan debat Universiti Birzeit dari Palestin di separuh akhir dengan 7-0.

Sebanyak tiga buah universiti mewakili negara iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antrabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

=EZY=