Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UNISEL anjur forum disiplin dunia pendidikan kanak-kanak

SHAH ALAM, 21 APR: Universiti Selangor (UNISEL) menganjurkan Forum Disiplin Dalam Dunia Pendidikan bagi meningkatkan tahap kesedaran berhubung kepentingan disiplin dalam dunia pendidikan kanak-kanak.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, forum berkonsepkan ilmu itu bertujuan mengetahui hak pendidik dan ibu bapa dalam dunia pendidikan juga menjelaskan peranan pendidik dalam membentuk modal insan.

“Forum ini juga bertujuan memberi kesedaran kepentingan pengurusan yang berdisiplin di sesebuah taska.

UNISEL Kanak-Kanak (4)“Bertajuk ‘Hak dan Disiplin Pendidik dan Ibubapa Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak’, kebanyakan peserta adalah pengusaha taska dari seluruh Selangor dan mahasiswa UNISEL,” katanya dalam kenyataan.

Program itu anjuran UNISEL menerusi Pusat Pengajian Siswazah dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Persatuan TASKA Negeri Selangor dan GPS BESTARI Karangkraf.

Antara panel yang hadir adalah Penasihat Eksekutif Editorial Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali; Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Mahanom Basri; Mantan Pengarah Perpaduan Masyarakat dan Integrasi Nasional Rafiai Hashim; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat Negeri Selangor, Sunarni Mastury dan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, ASP Nur Syafawati Abu Bakar.

Turut hadir sebagai moderator program adalah Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah UNISEL, Prof Madya Dr K Gunasegaran dan Setiausaha Kanan Exco Pendidikan Selangor, Abas Awang.

-NFN-