OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 3 APR: Usaha Kerajaan Negeri membantu usahawan trak bergerak disambut baik dan usahawan terlibat mengalu-alukan langkah diambil bagi terus memaju serta meningkatkan hasil pendapatan mereka.
Program itu juga terbukti berjaya memupuk minat orang ramai terutama generasi muda bagi menyertai bidang perniagaan dengan konsep berkenaan.
Khairul Anuar Abdul Salam, 23, berkata, program dijalankan seperti Festival Smart Trak Selangor 2017 membuka peluang usahawan memasarkan produk jualan dengan lebih berkesan.
“Perniagaan konsep begini bagus kerana kita dapat berjumpa pelanggan terus di lokasi dan juga mengurangkan beban.
“Pemasaran juga berkesan kerana segala iklan produk dipaparkan di bahagian badan trak untuk kemudahan pelanggan dan diharap program seperti ini diadakan secara kerap termasuk di lokasi lain,” kata pengusaha Mat Rock Ayam Goreng Kunyit itu kepada SelanorKini di sini, semalam.
Khairul Anuar dari Ampang, Kuala Lumpur adalah salah seorang usahawan menyertai Festival Smart Trak Selangor 2017 anjuran Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Sabtu dan Ahad lalu.
Festival terbabit dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Pengusaha Boxx by Kokopelli, Ushuaia Arif, 18, berkata, penganjuran program di kawasan tumpuan orang ramai adalah usaha terbaik bagi membantu peniaga memajukan perniagaan.
“Festival dua hari ini berkesan dan mendapat tumpuan kerana ia dijalankan dengan konsep perniagaan baru.
“Dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), ia ternyata langkah proaktif bagi menarik minat usahawan menyertai dan memasarkan produk jualan dalam program ini,” katanya.
Usahawan Murtabak Cheese dari Sijangkang, Enas Ibrahim, 32, menjelaskan usaha Kerajaan Negeri dalam perkara itu wajar dipuji kerana perniagaan konsep begitu memudahkan peniaga bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Perniagaan begini memudahkan pergerakan kerana segalanya dalam trak, macam saya sendiri pun dari Sijangkang tetapi boleh datang ke Shah Alam bagi bertemu pelanggan.
“Ia satu usaha strategik bagi membantu peniaga dan pastinya baik jika program berterusan serta diperluaskan di seluruh Selangor,” katanya.
-nR-