Categories
SUKANKINI

7,000 sertai larian PREC Neon Challenge

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 25 MEI: Lebih 7,000 peserta menyertai PREC Neon Challenge anjuran The Bulbs and Battery Asia Sdn Bhd dengan tajaan PKNS Real Estate (PREC).

Pengurus Program, Izrul Hanafiah berkata, program itu adalah larian neon pertama diadakan di tengah bandar raya Shah Alam, pada 13 Mei lalu.

“Acara ini berkonsepkan larian lampu neon berkelipan dan persembahan muzik serta diselitkan senaman berbeza berbanding acara larian yang ada di malaysia.

“Program ini berjaya mengumpulkan seluruh rakyat Malaysia tidak kira umur, kaum mahupun bangsa. Malah kita juga menerima penyertaan luar negara antaranya dari China, Afrika, Taiwan, Singapura dan Filipina,” katanya kepada SelangorKini.

Program dirasmikan Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari itu berlangsung di hadapan pintu masuk pusat membeli-belah SACC.

Izrul berkata, melihat kepada sambutan menggalakkan, pihaknya akan meneruskan acara itu, pada tahun hadapan.