Categories
PBT SELANGOR

Ziarah Ramadan MBSA santuni masyarakat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Seramai 120 orang daripada golongan kurang bernasib baik menerima sumbangan menjelang Ramadan dalam program Ziarah Ramadan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi tanggungjawab sosial korporat melaksanakan program kali k tujuh itu dengan memilih golongan ibu tunggal, warga emas, fakir miskin dan orang kelainan upaya.

Datuk Bandarnya, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, program terbabit diadakan bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan dalam membuat persediaan menyambut bulan Ramadan.

Katanya, ia merupakan komitmen berterusan oleh MBSA untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan disamping memberi peluang kepada warga Shah Alam mendekati pengurusan MBSA.

“Menerusi program ini juga ia merupakan platform pihak MBSA merapatkan silaturahim dan ukhuwah antara MBSA dan masyarakat setempat.

“Aktiviti ini diadakan sejak 2010 dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Kita cuba membantu golongan ini secara berterusan,” katanya ketika penyerahan sumbangan di Padang Jawa, di sini.

Sumbangan yang diberikan adalah berbentuk barangan makanan keperluan harian antaranya beras, minyak masak, gula, sardin, kicap, sos cili, kordial, susu dan sebagainya.

=EZY=