Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA

Adakah Umno masih komited pertahan ideologi Melayu-Islam mereka?

OLEH SYED IBRAHIM SYED NOH

Sempena sambutan ulang tahun Umno ke 71, saya merasa terpanggil untuk menceritakan imej Umno sebenar hari ini yang cukup berbeza dengan apa yang diperjuangkannya pada tahun penubuhan 1946.

Jika rakyat masih beranggapan bahawa Umno ialah ‘pembela Melayu Islam’, maka sudah pasti mereka ialah golongan yang tertipu dengan golongan yang menggunakan nama bangsa dan agama untuk terus mendapat kuasa yang menzalimi rakyat sendiri.

Pertama, rakyat diperlihatkan hari ini beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan organisasi yang beridentitikan bumiputera dan Islam telah terpalit dengan skandal rasuah dan salahguna kuasa yang semakin membarah.

Antaranya, pertama ialah skandal Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) pada tahun 2015 yang membabitkan kumpulan wang infak yang seharusnya diberikan kepada anak-anak yatim.

Malangnya, sebanyak RM 410,978.56 telah didakwa digunakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir untuk membiayai perjalanan ke Amerika Syarikat bersama isterinya, bermain golf dan lawatan ke pusat membeli belah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah membidas dakwaan tersebut. Menurutnya, YaPEIM hanya menggunakan wang hasil penjanaan perniagaan untuk menampung segala kos perbelanjaan melibatkan program di luar negara.

Mungkin benar pendapatan tahunan YaPEIM besar iaitu RM1.034 bilion hasil daripada perniagaan anak syarikatnya tetapi soalnya, mengapa perlu dibelanjakan sehingga setengah juta ringgit untuk aktiviti yang sebahagian besarnya tiada kaitan dengan anak yatim?

Bukan itu sahaja, empat individu termasuk tiga sekeluarga di YaPEIM didakwa memperolehi pendapatan mencecah RM2 juta setahun, dedah Pengarah Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW), Akmal Nasir pada November 2015. Adakah ini satu fitnah?

Baru-baru ini, pada 26 April 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat kebenaran Mahkamah Majistret Putrajaya untuk menahan reman seorang pengarah kanan YaPEIM.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan pecah amanah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Saya fikir mata boleh menjadi gelap melihat dana begitu besar dan tidak terbit rasa bersalah walaupun dana bertujuan untuk kebajikan anak-anak yatim.

Kedua, Majlis Amanah Rakyat (MARA) – Institusi berjenama bumiputera ini telah dikaitkan dengan skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia yang didedahkan pada tahun 2015 melibatkan dana sejumlah RM129 juta.

Terbukti kes ini dalam proses siasatan apabila pada akhir April lalu, SPRM telah mengambil dokumen dari tujuh lokasi bagi melengkapkan siasatan pembelian hartanah oleh MARA Incorporated Sdn Bhd di Australia.

Seorang bekas menteri juga dijangka dipanggil untuk membantu siasatan. Lebih malang tetapi mungkin dijangka, terdapat dakwaan penglibatan pemimpin Umno dalam skandal berkenaan.

Pada tahun yang sama, saudara Rafizi Ramli telah mempersoalkan pengurangan biasiswa pendidikan MARA untuk bumiputera. Adakah wang yang disalahgunakan akhirnya memangsakan golongan bumiputera sendiri?

Ketiga, Tabung Haji – Rakyat pernah dikejutkan dengan transaksi penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual oleh 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Tabung Haji melibatkan sejumlah dana RM 188.5 juta yang juga wang pendeposit.

NAJIB-1MDBWalhal kerajaan memberikan tanah tersebut kepada 1MDB sebelumnya dengan harga yang jauh lebih murah. Ditambah lagi dengan kerugian anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Heavy Engineering Berhad. Adakah Umno masih bersungguh untuk mempertahankan ideologi mereka?

Ke-empat, FELDA – Isu kerugian Felda Global Ventures (FGV) sehingga berlakunya pertukaran Pengerusi FELDA mendapat respon daripada pelbagai pihak.

Penjualan semula saham FGV oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah KWSP rugi RM 203.18 juta baru-baru ini menyebabkan reputasi FELDA sebagai sebuah GLC membantu peneroka-peneroka majoriti Melayu semakin terjejas.

Tambahan pula, Konvensyen Warga FELDA yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan dan ANAK tahun ini membuktikan bahawa kebajikan peneroka semakin diketepikan, termasuklah kelewatan bayaran wang sara hidup dan penyiapan rumah generasi kedua FELDA.

Adakah pemerintah, yakni Umno sudah hilang semangat untuk membantu bumiputera tetapi bersemangat mementingkan kroni dan diri sendiri?

Di samping itu, saya juga ingin menarik perhatian kepada isu ekonomi rakyat Malaysia, terutama mengenai jurang kekayaan dalam kalangan bumiputera sendiri. Bukankah ini perjuangan Umno?

Laporan Tahunan Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2016 menunjukkan bahawa 73.13 peratus pemegang unit terkecil dalam ASB hanya menguasai 2.48 peratus jumlah keseluruhan unit.

Manakala 8.94 peratus pemegang unit terbesar menguasai 79.63 peratus dari keseluruhan 144 billion unit dalam ASB. Data ini jelas menunjukkan berlakunya jurang pemilikan aset cair antara golongan kaya dan miskin bumiputera.

Malah saya yakin bahawa ketika Presiden Umno mendapat ‘derma’ RM2.6 bilion, masih ada golongan bumiputera miskin yang tinggal di rumah usang tanpa memiliki apa-apa kekayaan harta.

Kajian yang dilaksanakan oleh Muhammad Abdul Khalid yang dipaparkan dalam buku beliau “The Colour of Inequality” (Versi Bahasa Malaysia: “Antara Dua Darjat”) menunjukkan bahawa kelompok bumiputera mempunyai jurang aset kewangan yang paling tinggi, iaitu dengan petunjuk GINI Coefficient sebanyak 0.88.

Umno kurang prihatin dan pengetahuan mengenai isu ini, memandangkan Umno dikatakan lebih tertumpu pada wang dan kuasa dan memandang isu ini sebagai tidak relevan pada masa kini, katanya.

Jika realitinya Umno tidak mengambil berat mengenai sosio-ekonomi bumiputera tetapi semata-mata tertumpu pada kekayaan kroni dan kumpulan kleptokrat, maka terbuktilah bahawa ideologi perjuangan Umno sebenarnya ‘indah khabar dari rupa’.

Saya percaya ramai yang sangsi dengan kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau berkata, “Ini adalah waktunya yang paling baik untuk kita buktikan bahawa agenda agama, bangsa dan negara mengatasi agenda peribadi dan kita ketepikan perbezaan kalangan kita demi kemenangan UMNO dan BN”.

Mereka menggunakan nama bangsa dan agama untuk mendapatkan sokongan dan mengelirukan rakyat, terutama mereka yang tinggal di desa dan tidak mampu mendapat capaian media alternatif.

Saya yakin untuk pilihan raya kali ini, Umno tetap akan menggunakan strategi provokasi bangsa dan agama untuk meraih undi.

Tema ‘Penyatuan, Maruah dan Martabat Perjuangan serta Kesetiaan’ untuk ulang tahun Umno kali ini adalah bicara kosong daripada sebuah organisasi yang semakin tenggelam dengan rasuah, salahguna kuasa dan kerapuhan ideologi.

Entah berapa besar perbelanjaan sambutan tersebut yang turut menawarkan pelbagai hadiah termasuk enam buah kereta dan 10 buah motosikal bagi acara cabutan bertuah.

Pakatan Harapan sebaliknya mempunyai matlamat dalam membentuk sebuah negara yang memperjuangkan kesemua rakyat Malaysia berasaskan kepada idealisme perjuangan yang tulen dan kesatuan politik yang utuh.

Walaupun belum sempurna namun segala tanda-tanda menunjukkan keakraban yang sentiasa meningkat di kalangan anggota parti dalam Pakatan Harapan lantas menafikan tuduhan keretakan atau kelemahan.

Pendiriannya teguh iaitu Reformasi menyeluruh tata kelola negara berasaskan perlembagaan negara dan prinsip-prinsip keadilan, kebenaran, kebebasan, inklusif dan telus. Rakyat dan negara berhak ditadbir jauh lebih baik daripada pemerintah Umno BN sekarang.

Pembelaan dana bumiputra dan Islam perlu dijamin tanpa menindaskan mana-mana kaum atau agama apatah lagi mengkayakan kroni.

Pakatan Harapan sedia bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahukan perubahan negara ke arah yang positif, dan tidak mahu berkompromi dengan mana-mana pihak yang sanggup menjadi talian hayat kepada Umno BN untuk terus memperbodohkan rakyat atas nama bangsa dan agama.

Jadikan pilihan raya umum kali ini sebagai pencetus perubahan.
* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan Parti KEADILAN Rakyat
9 Mei 2017