Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Amal toleransi kekal keharmonian negara

SHAH ALAM, 30 MEI: Semua pihak diingatkan supaya menekankan aspek kesederhanaan, toleransi dan keadilan dalam usaha mengekalkan keharmonian di negara ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, serangan ganas dan kejam yang berlaku di beberapa tempat, baru-baru ini mengundang ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat seluruh dunia.

Katanya, masyarakat juga perlu mengambil iktibar terhadap ancaman dunia hari ini yang mencetuskan permusuhan, kebencian, penyebaran ajaran radikal dan ideologi pelampau atas nama agama.

“Serangan ganas dan kejam yang berlaku membawa kepada kehilangan dahsyat kehidupan, justeru kita perlu menekankan betapa pentingnya kesederhanaan, toleransi dan keadilan.

“Walaubagaimanapun, saya menggesa orang ramai supaya bertenang dan tidak mengambil jalan keluar hingga menyebabkan ketegangan, sebaliknya dialog berterusan dan penglibatan bersama mesti dikekalkan untuk memelihara keharmonian kaum, perpaduan juga persefahaman,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengecam sekeras-kerasnya serangan bom di Manchester, United Kingdom; Jakarta, Indonesia dan Marawi City di Selatan Filipina yang mengorbankan banyak nyawa.

Katanya, tiada alasan untuk melakukan serangan bersifat kejam itu dan menegaskan semua pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan.

“Simpati dan doa kepada mangsa, keluarga juga orang tersayang yang terkorban dalam serangan keji lagi ngeri itu.

“Malangnya, serangan ganas ini berlaku terlalu kerap serentak dengan kebangkitan keganasan dan gangguan berkaitan IS serta aktiviti militan lain,” katanya.