Categories
PENDIDIKAN

Angkat martabat guru sekolah agama

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyarankan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengemukakan kertas kerja bagi mengangkat martabat guru sekolah agama.

Mohamed Azmin berkata, beliau berharap Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi bersama pegawai-pegawai JAIS mengemukakan kertas kerja untuk beliau membuat penilaian bagi pertimbangan Kerajaan Negeri.

“Sebelum ini, Pengarah JAIS menyarankan untuk menyerap guru rakyat dan guru KAFA sekolah agama ke dalam struktur rasmi Kerajaan Negeri.

“Diharap kertas maklum balas mengenai guru KAFA dan guru sekolah rendah agama serta guru di maahad tahfiz berkenaan bukan sahaja dari segi elaun lebih adil dan tinggi tetapi kebajikan, perjawatan dan latihan kemahiran kepada mereka harus dimuatkan dalam kertas kerja ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru ke-46 JAIS, di Stadium Malawati, di sini semalam.

Mohamed Azmin berkata, usaha itu adalah bagi menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada semua guru yang menyumbangkan khidmat bakti dengan cukup berdedikasi dalam mendidik anak-anak di negeri ini.

=EZY=