Categories
SUKANKINI

Bagai pesta satukan rakyat dua negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SINGAPURA, 7 MEI: Pertandingan Piala Sultan Selangor yang berlangsung di sini, semalam, jelas menceriakan warganya yang menyifatkan ia sebagai cara muhibbah dengan penyertaan ramai.

Selepas tujuh tahun, ia kembali ke Stadium Nasional Singapura mempertemukan Pilihan Singapura dan Pilihan Selangor diwakili PKNS FC yang berkesudahan pasukan tuan rumah menang 3-2.

Bagaimanapun, keputusan terbabit bukan persoalan utama bagi penduduk tempatan kerana ia memberi makna lebih besar apabila dapat bersama saudara dan rakan taulan terutama dari Malaysia.

Rosinah Mohd Don berkata, beliau gembira apabila pertandingan itu diadakan di sini, dengan kehadiran ramai orang

“Selain kehadiran pelancong, ia memberi suasana berbeza di kota ini yang bagaikan pesta.

“Saya harap akan ada lagi selepas ini kerana dapat bertemu ramai orang terutama dari Malaysia yang amat ramah juga baik,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_20170506_231903Seorang rakyat Malaysia yang bertugas di sini, Salim Ismail berkata, peluang tidak dilepaskannya untuk bertemu rakan yang datang menyaksikan perlawanan itu.

“Saya gembira kerana bukan setakat dapat menyaksikan perlawanan ini tetapi juga bersama kawan dari Malaysia.

“Walaupun saya juga balik bila bercuti tetapi pastinya keadaan ini berbeza bila berkesempatan begini,” kata pemuda dari Kajang, Selangor itu.

Pertandingan Piala Sultan Selangor hasil cetusan idea DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mempertemukan Pilihan Selangor dan Pilihan Singapura, yang satu ketika dahulu bersaing hebat dan musuh tradisi dalam Liga Malaysia.