Categories
SELANGOR

JAIS ziarah Hospital Banting santuni pesakit

OLEH SYAZWANI SUFIAN

BANTING, 7 MEI: Program Ziarah Mesra Pesakit diteruskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menyantuni pesakit di samping menjadikan hospital institusi mesra rakyat dengan aktiviti ibadah.

Exco Hal Ehwal Agama Ialam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, program itu dijayakan bahagian Dakwah JAIS dengan kerjasama hospital, Jabatan Kebajikan Masyarkat, Pusat Khidmat DUN Sijangkang dan sukarelawan JAIS.

“Selain daripada menyantuni, program ini juga dapat membantu pesakit dengan memberikan mereka motivasi serta dakwah dalam waktu sama.

“Ia adalah salah satu cara JAIS menyampaikan dakwah kepada pesakit dengan lebih berkesan,” katanya kepada SelangorKini di Hospital Banting, di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Unit Ukhwah Dakwah Bahagian Dakwah JAIS, Muhamad Yusof Masran dan Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Banting, Ibrahim Mad Razale.

Pada masa sama, Ahmad Yunus berkata, terdapat enam buah hospital terlibat dalam program itu antaranya Hospital Klang, Selayang, Serdang, Kajang dan Sungai Buloh.

“Seramai 42 pesakit kita lawati hari ini dengan 32 daripadanya pesakit di wad kanak-kanak dan selebihnya di wad bersalin.

“Kita berharap kehadiran ini berserta sumbangan dapat memberi keceriaan kepada pesakit yang terlantar di hospital,” katanya.