Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Iltizam sambung ‘legasi’ cemerlang MPSJ

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 26 MEI: Legasi kecemerlangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) konsisten dikekalkan walaupun pentadbiran tertingginya berubah.

Demikian iltizam tinggi dizahirkan Pemangku Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali selepas diberi tanggungjawab menerajui kepimpinan tertinggi pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Beliau berkata, fokus utama kini untuk memacu kecemerlangan MPSJ seiring dasar dan pelan pembangunannya.

IMG_3138“Legasi kecemerlangan ini akan diteruskan dan amat penting bagi MPSJ terus berada di landasan terbaik bagi menjadikan kami sebagai 30 PBT terbaik, di Malaysia.

“Saya berharap sokongan dan komitmen warga kerja MPSJ seperti dilaksanakan secara konsisten Yang Dipertua sebelum ini,” katanya pada Majlis Mesyuarat MPSJ bilangan 05:2017 di Bilik Mesyuarat Kenanga, di sini, pagi ini.

Terdahulu, Mohd Zulkurnain turut melafaz ikrar pelantikan dengan disaksikan Ahli Majlis dan kepimpinan tertinggi MPSJ.

Mohd Zulkurnain menggantikan, Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan yang tamat penggal lantikannya, semalam.

Sebelum ini, Mohd Zulkurnain memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua MPSJ dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan di perbandaran sama, sejak 2011.

Sementara itu, jawatan Timbalan YDP akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk proses pemilihan individu berkelayakan.