Categories
KENYATAAN MEDIA

Industri perikanan Terengganu rugi, jika…

OLEH DATO’ RAJA BAHRIN SHAH

Pada jumaat lepas bersamaan 19 Mei, saya telah turun melawat ke Pasar Ikan di Jeti Pulau Kambing, Kuala Terengganu. Dalam lawatan ini, saya mendapati rungutan utama orang awam adalah masalah harga ikan yang semakin mahal serta bekalan yang tidak menentu.

Masalah ini akan menyebabkan ramai rakyat di Kuala Terengganu malah di sekitar persisiran pantai terkesan dan akan menyusahkan rakyat untuk persiapan masakan berbuka puasa bersama keluarga dan juga memenuhi permintaan rakyat menjelangnya bulan Ramadhan serta Syawal.

Malah nelayan-nelayan menjangkakan masalah ini akan berterusan sekiranya perairan negara terus diceroboh oleh nelayan-nelayan asing dan ia semakin parah apabila menjelangnya bulan puasa ini kerana bekalan yang ada tidak mampu memenuhi permintaan pasaran.

Selain daripada masalah ini, pembuat dan penjual keropok lekor Terengganu juga telah mengadu pada saya bekalan ikan yang tidak menentu dan mencukupi yang menjejaskan perniagaan mereka.

Jika masalah ini berterusan, industri perikanan dan keropok Terengganu berdepan risiko rugi. Kerajaan patut memandang berat isu isu yang berkaitan ini kerana Terengganu terkenal dengan industri keropok lekor dan keropok keping.

Adakah kerajaan pimpinan UMNO-BN sanggup melihat industri perikanan dan keropok Terengganu musnah pada masa akan datang? Jika tidak kerajaan mesti lebih peka terhadap masalah sebenar yang menghambat rakyat.

*Raja Bahrin adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu