Categories
KENYATAAN MEDIA

AS biadap pindah kedutaan Israel ke Baitulmaqdis

Amanah mengecam sekeras sekerasanya tindakan Presiden Trump memindahkan kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqadis. Sejak menjadi presiden beliau bukan menjadi pendamai tetapi menjadi punca tercetus ketegangan dan persengketaan di Timur Tengah dan juga di Asia terutamanya di Korea. Hak orang Islam sedunia tercabar dan maruah kami tercalar teruk hari ini. Baitul Maqadis adalah isu terpenting menyelesaikan isu Rakyat Palestin dan Islam sedunia. Amerika adalah musuh nyata orang Islam dan Palestin dengan tindakan ini yang kami kutuk sekeras kerasnya. Hari ini mereka mereka yang memilih menjadi sekutu rapat Amerika adalah musuh umat Islam. Kami menuntut Kerajaan Malaysia menghantar bantahan keras ke Amerika atas tindakan memindah kedutaannya ke Baitul Maqadis.

1) Datuk Najib sering mengumumkan hubungan baik dan istimewa beliau dengan Donald Trump.Jika benar hubungan tersebut begitu baik, beliau patut menggunakan hubungan istimewa tersebut untuk mempengaruhi polisi Trump untuk kebaikan umum umat Islam sedunia.

2) Baik dalam isu pengistiharaan pengharaman umat Islam negara tertentu memasuki Amerika sehingga hasrat Trump memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat ke Baitul Maqadis, Najib membisu seribu bahasa. Beliau kelihatan lagi mengutamakan memelihara hubungan peribadi beliau dengan Trump supaya tidak terjejas daripada menggunakannya untuk kepentingan umum umat Islam. Ini adalah  sikap mementingkan diri dan bukan sikap seorang pemimpin Islam yang berjuang dan berkorban untuk umat Islam sedunia. Adakah ini sikap seorang pemimpin yang kita boleh  berbangga membela Islam atau yang patut kita ganti ? Seluruh Dunia dan Malaysia memerhati kelemahan kepimpinan Najib yang amat mendukacitakan.

3) Adakah Malaysia mempunyai pendirian dalam isu yang melibatkan salah satu tempat terpenting untuk dunia dan umat Islam ? Adakah UMNO yang sedang mempunyai Mesyuarat Agong membuat pendirian rasmi tentang isu ini?

UMNO sudah tidak relevan lagi, begitu juga Najib. Dan Malaysia menjadi makin tidak relevan dan tenggelam terus jauh berbanding pada zaman Tengku Abdul Rahman yang pernah menerajui OIC dahulu.

Apakah pendirian Malaysia dalam isu Amerika memindah kedutaannya ke Baitul Muqadis ? Najib hanya berani boleh menjuarai Islam di Malaysia sahaja seperti seorang  jaguh kampung. Dipentas antarabangsa Malaysia sudah tidak lagi relevan dibawah kepimpinan Najib. Itulah Nasib Malaysia hari ini selepas 60 tahun Merdeka.

Raja Bahrin Shah
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
dan Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah

Categories
NASIONAL

Tun Mahathir ke Terengganu, dedah siri korupsi 1MDB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 OGOS: Provokasi terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berlaku baru-baru ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyelongkar korupsi Kerajaan Persekutuan dan didedahkan kepada masyarakat seluruh negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata, iltizam itu diteruskan Tun Mahathir pada siri jelajah ke Terengganu, selepas siri pendedahan pada forum Nothing To Hide, di Shah Alam awal Ogos lalu.

Raja_Kamarul_Bahrin_Shah2Beliau berkata, rakyat Terengganu bakal didedahkan dengan isu kontroversi mega antarabangsa, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bermula sebagai Terengganu Investment Authority – TIA, di peringkat awal penubuhannya.

“Menyedari betapa rakyat perlu pembelaan atas kehilangan kredibiliti negara dan juga kehilangan kekayaan Terengganu hasil minyak dan gas serta pembaziran meluas perbelanjaan besar negeri sebanyak RM2.2 billion setahun, Tun akan berada bersama rakyat Terengganu.

“Beliau akan berkongsi maklumat dan pengalaman bagaimana Negara dan Terengganu ini boleh dipulihkan kembali.

“Selepas 40 tahun lebih minyak dan gas ditemui di perairan Terengganu, negeri ini masih menjadi 4 negeri termiskin di Malaysia dengan ramai nelayan berpendapatan RM450 sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, memandangkan tempoh Pilihan Raya Umum (PRU14) diadakan dalam tempoh terdekat, ini mungkin menjadi kesempatan terakhir bagi Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu untuk bersama rakyat Terengganu.

IMG_20170813_192211-1024x683“Insiden kekacauan di Forum Tun Mahathir di Shah Alam baru baru ini menunjukkan ada sesuatu yang pihak tertentu ingin menghalang Tun menyampaikan maklumat kepada rakyat .

“Rakyat Terengganu diseru datang beramai-ramai untuk mendengar pesanan Tun pada Sabtu malam, 26 Ogos 2017 jam 9 malam, di Pasar Chabang Tiga, Losong, Kuala Terengganu.

“Semoga pesanan Tun serta kehadhiran ramai rakyat Terengganu boleh memulakan satu kebangkitan kesedaran baru untuk merubah lanskap politik negara dan negeri yang makin tenat ini,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Industri perikanan Terengganu rugi, jika…

OLEH DATO’ RAJA BAHRIN SHAH

Pada jumaat lepas bersamaan 19 Mei, saya telah turun melawat ke Pasar Ikan di Jeti Pulau Kambing, Kuala Terengganu. Dalam lawatan ini, saya mendapati rungutan utama orang awam adalah masalah harga ikan yang semakin mahal serta bekalan yang tidak menentu.

Masalah ini akan menyebabkan ramai rakyat di Kuala Terengganu malah di sekitar persisiran pantai terkesan dan akan menyusahkan rakyat untuk persiapan masakan berbuka puasa bersama keluarga dan juga memenuhi permintaan rakyat menjelangnya bulan Ramadhan serta Syawal.

Malah nelayan-nelayan menjangkakan masalah ini akan berterusan sekiranya perairan negara terus diceroboh oleh nelayan-nelayan asing dan ia semakin parah apabila menjelangnya bulan puasa ini kerana bekalan yang ada tidak mampu memenuhi permintaan pasaran.

Selain daripada masalah ini, pembuat dan penjual keropok lekor Terengganu juga telah mengadu pada saya bekalan ikan yang tidak menentu dan mencukupi yang menjejaskan perniagaan mereka.

Jika masalah ini berterusan, industri perikanan dan keropok Terengganu berdepan risiko rugi. Kerajaan patut memandang berat isu isu yang berkaitan ini kerana Terengganu terkenal dengan industri keropok lekor dan keropok keping.

Adakah kerajaan pimpinan UMNO-BN sanggup melihat industri perikanan dan keropok Terengganu musnah pada masa akan datang? Jika tidak kerajaan mesti lebih peka terhadap masalah sebenar yang menghambat rakyat.

*Raja Bahrin adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu