Categories
EKONOMI SELANGOR

INVEST yakin sasaran mampu dicapai

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Invest Selangor Berhad (INVEST) optimis sasaran pelaburan sebanyak RM6.5 bilion tahun ini mampu dicapai.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hassan Azhari Idris berkata, jumlah itu termasuk sasaran pelaburan langsung asing (Foreign direct investment-FDI) dan pelaburan domestik seperti industri pembuatan.

“Saya percaya kita berada dalam landasan yang betul jika dilihat kepada perkembangan sepanjang lima bulan pertama setakat ini.

INVEST (2)“Buat masa ini, kita tiada data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), namun saya pasti berupaya mengejar sasaran,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, beliau mewakili INVEST menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kerajaan Negeri Victoria dengan disaksikan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, dan Pengangkutan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim.

Ia MoU kedua ditandatangani INVEST dalam tempoh seminggu selepas yang pertama bersama Negeri Bebas Bavaria, Jerman, ditandatangani, di sana, baru-baru ini.

Hassan Azhari berkata, INVEST berjaya memperoleh pelaburan bRM7.88 bilion tahun lalu, berbanding sasaran RM6 bilion.

“Kita bawah satu anak tangga dari Johor, namun berdasarkan jumlah projek diluluskan terus kekal di atas dengan 242 projek diikuti Johor dengan 165 projek,” katanya.