Categories
PBT SELANGOR

Komitmen tinggi, semangat kerja bersama capai sasaran

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 13 MEI: Komited dan kesungguhan tinggi dalam menjalankan tugas diamanahkan adalah antara aspek diutamakan petugas Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi memenuhi skop tugas selain kehendak masyarakat.

Pegawai Kesihatan Persekitaran , Mahzura Mohd Amin, 37, berkata beliau sentiasa mengamalkan semangat kerjasama dan berpasukan bagi memastikan segala kerja dapat dijalankan dengan sempurna dan berkesan.

“Bukan mudah berkhidmat di MBPJ kerana ia memerlukan komitmen tinggi dan saya menghargai pegawai serta rakan sekerja yang sentiasa bekerjasama dalam memastikan segala kerja mampu dijayakan dengan baik.

“Disiplin dan kesabaran tinggi amat penting dalam menjalankan tugas di mana saya berharap mampu terus mencurahkan khidmat bakti dengan cemerlang dalam memenuhi ekspektasi majlis dan orang ramai,” kata pegawai dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam itu kepada SelangorKini.

Mahzura berkhidmat dengan MBPJ sejak 14 tahun lalu adalah salah seorang daripada 149 pegawai dan kakitangan MBPJ menerima anugerah penghargaan daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dalam majlis Anugrah Perkhidmatan Cemerlang 2016 dan Meraikan Pesara 2017 MBPJ di sini, semalam.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan Timbalannya, Johary Anuar.

Jurugambar, Intan Khairana Md Zali, 38, yang mula berkhidmat di MBPJ pada 2005 berkata, persekitaran dan suasana kerja baik di MBPJ banyak membantunya dalam menjalankan tugas seharian.

“Selain menjalankan tugas seperti mana diarahkan, saya juga perlu sentiasa berusaha dengan kreativiti diri bagi menghasilkan kualiti kerja membanggakan serta memenuhi kehendak semua.

“Kerjasama semua pegawai dan rakan setugas juga amat baik hingga beroleh hasil kerja disasarkan dan saya harap ia berterusan supaya mampu terus berkhidmat dengana jaya,” katanya yang berkhidmat di Unit Komunikasi Korporat MBPJ.

=EZY=