Categories
NASIONAL

Landasan 2 KLIA ditutup insiden tayar MH726 mengempis ketika mendarat

SHAH ALAM 2 MEI: Landasan 2 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditutup sehingga diberitahu kelak ekoran insiden selepas tayar pesawat Malaysia Airlines (MAS) mengempis semasa mendarat.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan medianya berkata, dua tayar penerbangan MAS MH726 dari Jakarta hari ini mengempis selepas mendarat dengan selamat di KLIA pada jam 7.13 pagi.

“Landasan 2 di KLIA akan ditutup sehingga diberitahu kelak,” kata syarikat penerbangan itu.

Penumpang dan anak kapal selamat turun dari pesawat dan dipindahkan ke terminal dengan bas.

Bagasi dan barang-barang mereka juga dihantar ke terminal menggunakan bas.

“Syarikat penerbangan ini akan menyiasat punca kejadian yang berlaku terhadap pesawat Boeing 738,” kata MAS.

MAS berkata oleh kerana kekurangan pesawat, beberapa penerbangan menggunakan pesawat ini akan dinaik taraf di mana ia akan dikendalikan oleh pesawat Airbus 330.

“Kami sedang mengkaji untuk mengerahkan pesawat Airbus 380 untuk memberi perkhidmatan di laluan Australia,” katanya.

MAS memberi jaminan keselamatan menjadi keutamaannya dan melahirkan rasa kesal atas sebarang kesulitan yang berlaku kepada penumpang.

=EZY=