Categories
PBT SELANGOR

Lebih 5,000 motosikal retro bergabung cipta rekod di Morib

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 3 MEI: Sebanyak 5,084 motosikal retro sekali lagi berhimpun pada acara Morib Retromania Grand Gathering, di Dataran Pantai Morib, baru-baru ini sekaligus disenaraikan dalam Malaysia Book Of Records.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya berbangga dengan rekod yang dicatatkan serta memberi peluang pelbagai peminat retro menggegarkan pantai berkenaan dengan pelbagai aktiviti.

“Walaupun berdepan dengan kesesakan yang teruk namun kerjasama semua pihak terutamanya Polis membantu melancarkan kesesakan lalu lintas ini.

“Kami berbangga apabila perhimpunan kali ini mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records walaupun dan menerima kunjungan penunggang motosikal dari seluruh negara,” katanya di majlis perasmian program itu.

MDKLMohamad Zain berkata penganjuran sejak 2013 itu dijadikan sebagai platform bagi menghimpunkan peminat dan pengumpul motosikal retro di seluruh negara.

“Penganjuran ini tidak menyasarkan keuntungan semata-mata, sebaliknya ia lebih kepada minat dan program ini dlihat akan diteruskan.

“Seramai lebih 15,000 pengunjung hadir ke acara ini melebihi sasaran kita dan ini memberi impak kepada ekonomi setempat selain dapat mengukuhkan lagi hubungan peminat motosikal retro,” katanya.

Program terbabit bekerjasama dengan 13 kumpulan motosikal retro seluruh negara dengan kerjasama MDKL dan Majlis Keselamatan Jalan Raya.

Pengiktiran terbabit merupakan kali kedua selepas pengiktiraf kali pertama pada tahun 2014. Ia bukan sahaja himpunan motosikal retro tetapi juga diselitkan dengan fesyen retro serta basikal BMX dan pakaian penunggang tahun 60-an.

=EZY=