Categories
AGAMA SELANGOR

LZS: ‘Kasihku Zakat Selangor’ peluang syarikat laksana CSR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkenalkan program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi memberi ruang kepada pengeluar zakat terutama syarikat korporat bersama-sama menyantuni keperluan penerima zakat di negeri itu yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hussin Mohd Ali berkata, program itu diperkenalkan sebagai inisiatif kepada syarikat yang mengeluarkan zakat sebanyak RM50,000 ke atas.

Katanya, melalui program itu, syarikat berkenaan boleh memohon agihan semula 3/8 atau 37.5 peratus daripada jumlah bayaran zakat yang dikeluarkan pada tahun semasa untuk diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin yang berdaftar termasuk asnaf fisabilillah.

“Wang zakat ini akan disalurkan berdasarkan empat pakej utama yang ditawarkan iaitu pakej bantuan pendidikan, modal, perubatan dan sosial.

LZS“Selain memberi ruang kepada pengeluar zakat membantu asnaf dengan lebih dekat, program ini merupakan platform kepada syarikat korporat meningkatkan sumbangan melalui peruntukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” katanya selepas merasmikan program itu di Hotel Blue Wave, di sini.

Pada masa sama, Hussin berkata produk terbaru itu sebagai galakan pembayar zakat oleh syarikat korporat sekaligus mengambil bahagian dalam program yang disusun LZS.

Katanya, program yang disusun LZS boleh diikuti pembayar zakat bagi mengelakkan berlakunya program tidak menepati garis panduan penerima zakat.

“Ini juga peluang kepada mereka daripada segi publisiti kerana pihak kami akan memberikan kredit kepada syarikat ini dalam bentuk bantuan yang diberikan melalui program disusun berdasarkan pakej itu,” katanya.

Beliau turut menyasarkan sejumlah RM10 juta dapat dikumpul melalui program itu sebelum hujung tahun ini.

Dalam majlis itu, lima syarikat menyatakan persetujuan menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ membabitkan agihan semula sebanyak RM509,600.

Syarikat terbabit adalah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebanyak RM400,000, Central Spectrum (M) Sdn Bhd sebanyak RM100,000 dan Herbaworks Healthcare Sdn Bhd sebanyak RM5,000 serta Tan Sri A. Razak Ramli menyumbang berjumlah RM4,600 di bawah pakej perubatan.

=EZY=