Categories
NASIONAL

MAS bakal umum jawatan kosong

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 MEI: Malaysia Airlines (MAS) bakal menambah 11 laluan baru menjelang akhir tahun ini, iaitu pertambahan tertinggi dalam tempoh setahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menilai sekurang-kurangnya 26 laluan untuk ditambah, pada 2018.

Katanya, penilaian itu berdasarkan permintaan pelanggan Asia terutama dari China, India dan Australia walaupun promosi penerbangan ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menjunam.

“Dengan perkembangan ini, MAS sememangnya merancang untuk mengambil lebih ramai kakitangan kerana kami perlukan juruterbang, anak kapal, jurutera dan kakitangan sokongan.

“Kami juga bakal menambah beberapa pesawat besar untuk penerbangan,” katanya dipetik Free Malaysia Today.

Sebelum ini, Reuters melaporkan syarikat penerbangan itu merancang untuk memajak enam hingga lapan pesawat Airbus A330 atau Boeing 777 untuk digunakan syarikat penerbangan lain dari 2018 dan tujuh hingga sembilan pesawat dari 2019.

peterIa menyasarkan keuntungan pada 2018 dan merancang kembali tersenarai dalam pasaran saham pada Mac tahun berikutnya.

Pada 2014, dua pesawat MAS ditimpa tragedi termasuk kehilangan misteri MH370 dan MH17 yang ditembak jatuh di Timur Ukraine.

Tahun sama turut menyaksikan syarikat itu terkeluar daripada senarai Bursa Saham Kuala Lumpur.

Pada 2015, ia memberhentikan kira-kira 6,000 pekerja, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada tenaga kerja MAS ketika itu.