Categories
PBT SELANGOR

MPS serbu perniagaan tanpa permit

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SELAYANG, 25 MEI: Sebanyak 39 peniaga dikenakan tindakan sita dan rampasan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi bersepadu dijalankan di sekitar Pasar Borong Selayang, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato Juhari Ahmad berkata, 35 khemah, dua lori dan dua tong roro yang menjual pelbagai barangan keperluan seperti sayur, ikan serta buah turut dirampas.

“Tindakan diambil selepas mendapati peniaga terbabit tidak mempunyai permit dan lesen daripada MPS mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Selain itu, barangan jualan mereka juga tidak bersih kerana ia dari sisa pasar raya yang dikuatiri kebersihannya.

“Sebab itu mereka boleh jual dengan harga yang sangat murah,” katanya dalam sidang media, di sini.

Juhari berkata, operasi besar-besaran itu berjaya menggabungkan tujuh agensi kerajaan dengan penglibatan 200 anggota penguatkuasa terdiri daripada DBKL, Suruhanjaya Pengangkutan Awan dan Darat (SPAD), Imigresen Selangor, IPD Gombak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

IMG-20170525-WA0012Katanya, tindakan dibuat berdasarkan kekerapan aduan orang ramai yang kurang senang dengan kehadiran penjaja warga asing di kawasan itu.

“Hampir setiap hari kita menerima aduan dari orang ramai berkenaan lambakan penjaja warga asing di pasar borong ini.

“Imigresen juga melaksanakan serbuan ke atas penjaja warga asing tanpa permit dan seorang warga Indonesia berjaya ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan dengan penguatkuasa,” katanya.

Pada masa sama, Juhairi berkata, pihaknya bercadang untuk meneruskan pelaksanan operasi itu bersama DBKL memandangkan kawasan terbabit bersempadan.

“Kalau boleh kita mahu melaksanakan operasi ini tiga kali setahun selain meneruskan pemeriksaan pada Ramadan ini,” katanya.