Categories
PBT SELANGOR

Ramadan bukan alasan untuk culas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 25 MEI: Kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diingatkan supaya tidak menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan untuk tidak bekerja.

Datuk Bandarnya Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sebaliknya Ramadan adalah zon perubahan yang perlu difahami dengan lebih mendalam bagi setiap kakitangan.

Katanya, setiap kakitangan juga disarankan mengubah sikap menjadi lebih baik dengan mempamerkan imej berintegriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam.

“Alasan menjadikan bulan Ramadan untuk lebih banyak rehat dari membuat kerja adalah tidak wajar, sebaliknya tugasan diamanahkan kepada kita perlu diteruskan seperti biasa,” katanya ketika Majlis Pemberian Buah Kurma kepada kakitangan di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Mohd Azizi berharap kakitangannya dapat keluar dari zon selesa dan menjangkaui sasaran ditetapkan untuk menjadi lebih kuat dan berdaya saing.

“Dalam keadaan sekeliling yang dinamik, ia memerlukan ketangkasan, kepantasan untuk mengadaptasi dan menyesuaikan diri,” katanya.

Dalam majlis itu, MBPJ mengedarkan buah kurma kepada 2,000 kakitangannya.

Program yang diperkenalkan sejak 2007 itu adalah antara bentuk penghargaan MBPJ kepada semua pegawai dan kakitangan yang berkhidmat.