Categories
SELANGOR

Pantau projek naik taraf pasar Sekinchan secara berkala

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 15 MEI: Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim akan memantau pelaksanaan projek menaik taraf Pasar Awam Sekinchan supaya ia siap mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya, projek itu adalah antara janji yang diumumkan Barisan Nasional (BN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

“Mereka janji akan menaik taraf pasar itu pada PRK di Sungai Besar, namun kerja naik taraf baru dimulakan bulan lalu.

“Saya akan terus memantau projek ini supaya mereka mematuhi spesifikasi ditetapkan, sekali gus mengurangkan kesulitan kepada peniaga tambahan Ramadan dan Aidilfitri bakal tiba,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau juga berharap penambahbaikkan itu akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar di samping menaikkan imej serta menjadi tarikan pelancong.

Beliau turut menggesa peniaga dan orang awam supaya bersabar sepanjang tempoh naik taraf itu.

Dianggarkan kos naik taraf pasar itu menelan belanja RM500,000 membabitkan gerai, lantai baru dan sistem saliran.