Categories
SELANGOR

Program keusahawanan PKNS jana perolehan RM233.5 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Program keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan menjana perolehan RM233.5 juta membabitkan 408 peserta sejak diperkenalkan.

Empat program itu ialah Graduate Realizing Opportunities Way Forward (Grow) diwujudkan sejak 2006, Vendor Inkubator Payung (1996), Sub Kontraktor Bumiputera (2003) dan yang terbaharu untuk tahun ini adalah program Pemantapan lima Usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, daripada jumlah perolehan itu, Grow yang disertai 243 peserta mencatatkan hasil jualan keseluruhan syarikat RM16.5 juta.

“Sehingga 2016 sahaja, program pembangunan keusahawanan PKNS berjaya menjana pendapatan kira-kira RM233.5 juta menerusi program Grow (RM16.5 juta), Vendor Inkubator Payung (RM125 juta) dan Sub Kontraktor Bumiputera, RM92 juta,” katanya di Majlis Pentauliahan dan Graduasi Usahawan PKNS, di sini, baru-baru ini.

Noraida berkata, PKNS akan terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan usahawan di Selangor selain mengilhamkan pelbagai program dengan menumpukan kepada aspek pembudayaan, pembangunan, pemantapan dan jaringan perniagaan.

Katanya, PKNS berharap dapat menyuntik inspirasi kepada usahawan bagi mengekalkan momentum dalam mencapai kejayaan bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.

“PKNS akan meneruskan lagi program pembangunan usahawan dan mengenal pasti ruang penambahbaikan agar usaha pembangunan usahawan ini akan mencapai matlamatnya,” katanya.

Seramai 80 usahawan ditauliahkan dalam majlis yang julung kali dianjurkan perbadanan itu bertujuan meraikan pencapaian peserta menerusi empat program keusahawanan yang dibangunkan PKNS.

PKNS mula menyemai semangat keusahawanan untuk Bumiputera Selangor sejak 1995 dengan penubuhan Sekretariat Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang kemudian dijenamakan semula sebagai Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) pada 2010.

Sebanyak 14 program dirangka BPU PKNS sejajar Dasar Ekonomi Baru membentuk usahawan Bumiputera berkualiti dan berdaya saing.