Categories
NASIONAL

Pekerja mahir Malaysia pulang ke tanah air belum capai sasaran

SHAH ALAM, 10 MEI: Program Kepulangan Pakar (REP) yang dijalankan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) hanya dapat menarik 398 pekerja mahir Malaysia kembali ke negara ini berbanding jumlah 1,200 yang disasarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TalentCorp, Shareen Shariza Abdul Ghani berkata, rakyat Malaysia menghabiskan masa yang lama di luar negara mungkin tidak biasa dengan peluang dan pertumbuhan di negara ini.

Katanya, cabaran lain termasuk faktor peribadi seperti pendidikan anak menjadi punca ketara yang menghalang rakyat Malaysia kembali ke negara ini.

statitistik“Apa yang perlu kita lakukan adalah ‘menjual’ negara lebih baik, ‘menjual’ peluang supaya mereka mahu kembali,” kata Shareen dipetik MalaysiaKini.

REP dilancarkan semula pada 2011 dengan matlamat memberi pengecualian cukai dan insentif lain bagi rakyat Malaysia yang mahir untuk kembali ke negara ini.

Kebanyakan rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam REP adalah daripada sektor minyak dan gas diikuti kewangan dan perakaunan, perkhidmatan perniagaan, komunikasi serta elektrik dan elektronik.

Kebanyakan peserta REP adalah dari Singapura, China, United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat dengan bilangan mereka bagi 2016 kurang separuh dari 800 yang disasarkan.

Pada 2016, anggaran bajet TalentCorp adalah RM9.42 juta iaitu 5.5 peratus (RM518,000) diperuntukkan untuk REP.