Categories
NASIONAL

Pekung Najib kian dihidu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 MEI: Pekung penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pelbagai skandal mega hari ini bukan lagi rahsia, sebaliknya diketahui seluruh rakyat.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri pernah mempersoalkan keputusan kerajaan menyerahkan tanah strategik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi kepada 1MDB untuk diuruskan Jho Low tanpa proses pembidaan dan ketelusan.

“Di Parlimen, saya menuntut penjelasan mengapa tidak ditekankan syarat penyertaan syarikat tempatan, ekuiti bumiputera dan kebajikan pesara TUDM? Berdasarkan laporan audit tahunan itu, diusulkan supaya PAC menelitinya.

“Surat terbabit tidak dijawab dan kini nasi sudah menjadi bubur. Pekung busuknya dihidu di Amerika, Singapura dan Switzerland, malah kekal membelit sang penguasa serta membebankan negara,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam amanat dibacakan pNurul Izzah Anwar pada Kongres Nasional Tahunan KEADILAN Ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, di sini, hari ini.

Katanya, selain 1MDB, pelbagai agensi dana dan lembaga amanah bumiputera turut menjadi mangsa kerakusan pentadbiran Najib.

“Siapa yang mengkhianati agensi dan lembaga amanah bumiputera hingga hampir semua terpalit dengan rasuah dan penyelewengan – MARA, Tabung Haji hingga projek rakyat termiskin?

“Penggeledahan SPRM yang membayangkan pengkhianatan amanah sekian lama mengejutkan rakyat dengan angka besar – RM200 juta di satu Jabatan Air Sabah, RM100 juta di Kementerian Belia dan Sukan dan seterusnya tanpa noktah,” katanya.