Categories
NASIONAL

Pimpinan AMK bebas bukti kemenangan hak berhimpun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Pembebasan dua pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) daripada tuduhan menghalang pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika bantahan #PecatIGP, pada Mac 2015 disifatkan sebagai kemenangan rakyat untuk berhimpun.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau mengalu-alukan keputusan pembebasan Setiausaha Agungnya, Chang Lih Kang dan Naib Ketua, Tan Kar Hing serta empat Orang Kena Tuduh (OKT) lain.

“Keputusan ini mengesahkan demonstrasi itu sah di sisi undang-undang dan tidak sepatutnya dirumitkan pihak berkuasa.

“Kami melihat ini sebagai kemenangan untuk hak berhimpun, bertentangan dengan usaha sesetengah pihak yang hendak menghadkan hak ini,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi juga menyeru pihak pendakwa dan kerajaan untuk tidak merayu keputusan kes itu.

“Mereka sepatutnya berbincang dengan pertubuhan masyarakat madani untuk menjalankan reformasi ke atas pelbagai undang-undang dan prosedur bagi memastikan hak berhimpun diberikan dengan sewajarnya,” katanya.