Categories
AGAMA SELANGOR

Sambut baik insentif sempena Ramadan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 MEI: Inisiatif Kerajaan Negeri memberi sumbangan khas untuk nazir masjid dan pengerusi surau disifatkan permulaan baik bagi golongan berkenaan.

Nazir Masjid Proton Seksyen 27, Md Sahari Abdullah, 64, berkata, ia membuktikan komitmen tinggi kerajaan pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam menghargai sumbangan mereka dalam mengimarah masjid.

“Saya sangat gembira kerana insentif seumpama ini tidak pernah kami rasai sebelum ini.

“Diharap ia menjadi permulaan kepada pemberian elaun tetap selepas ini,” katanya kepada SelangorKini.

Turut sependapat, Salim Sudin, 65, berkata, sudah tiba masa Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengiktiraf peranan nazir masjid dan pengerusi surau.

“Mungkin elaun RM300 sebulan sudah memadai, bergantung kepada kemampuan Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada budi bicara Kerajaan Negeri, apa sahaja keputusan tidak mematahkan semangat kami untuk menjalankan amanah diberikan,” katanya yang bergelar Pengerusi Surau Al-Maarif, Sungai Sering sejak Januari 2017.

Sementara itu, Pengerusi Surau Magna Ville, Mohd Saljji Junoh, 40, menyifatkan insentif diterima merupakan rezeki awal sempena Ramadan kali ini.

“Dengan adanya pemberian sebegini, semestinya saya lebih bersemangat untuk melakukan yang terbaik dalam mengimarah surau.

“Terima kasih Kerajaan Negeri. Diharap peranan nazir masjid dan pengerusi surau lebih dihargai pada masa akan datang,” katanya.

Pada 26 Mei lalu, hampir 2,000 nazir masjid dan pengerusi surau di seluruh Selangor menerima sumbangan Kerajaan Negeri dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM810,000.

Setiap nazir masjid menerima sumbangan RM500 sementara setiap pengerusi surau diberikan RM300.

=EZY=