Categories
GLOBAL

Rakyat Korea Selatan pilih presiden baharu

SEOUL 9 MEI: Rakyat Korea Selatan keluar mengundi hari ini untuk memilih presiden baharu selepas Park Geun-hye digulingkan, ditahan dan didakwa atas tuduhan rasuah serta berdepan ketegangan berkaitan isu nuklear Korea Utara.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan lebih 139,000 pusat membuang undi dibuka pada jam 6.00 pagi waktu tempatan di seluruh negara itu dan jumlah keluar mengundi dijangka mencecah paras rekod.

Pengundi yang bersemangat selepas didorong rasa marah susulan rasuah berleluasa dan skandal salah guna kuasa yang menjatuhkan Park sekali gus menjadi punca utama terhadap kekurangan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi yang lembap.

Bekas peguam hak asasi manusia, Moon Jae-In yang berhaluan kiri mendahului tinjauan pendapat selama berbulan-bulan dengan tinjauan terakhir dikendalikan firma Gallup Korea, sebelum tempoh seminggu kempen dihentikan menunjukkan beliau meraih 38 peratus sokongan diikuti bekas jutawan teknologi, Ahn Chael-Soo sebanyak 20 peratus.

Sementara itu, wakil Parti Kebebasan Park, Hong Joon-Pyo berada pada kedudukan ketiga dalam saingan membabitkan 13 calon apabila mendapat sokongan sebanyak 16 peratus.

Kempen pilihan raya lebih tertumpu kepada isu ekonomi manakala perkara berkaitan Korea Utara tidak begitu mendapat perhatian.

Namun selepas sedekad pemerintahan konservatif, kemenangan Moon mungkin bakal menyaksikan perubahan pendekatan Seoul terhadap Pyongyang dan sekutu penting negara itu, Amerika Syarikat.

=EZY=