Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM810,000 untuk nazir, pengerusi surau

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 MEI: Buat julung kalinya, hampir 2,000 nazir masjid dan pengerusi surau di seluruh Selangor menerima sumbangan Kerajaan Negeri dengan jumlah keseluruhan RM810,000.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, insentif sempena kehadiran Ramadan itu bagi menghargai peranan mereka dalam mengimarah rumah Allah di negeri ini.

Katanya, setiap nazir masjid menerima sumbangan RM500, sementara pengerusi surau diberikan RM300.

“Kerajaan Negeri maklum peranan mereka semakin mencabar kerana ia tidak semudah 10 atau 20 tahun lalu.

“Sebelum ini tumpuan diberikan kepada jawatankuasa dan pengurusan masjid, kali ini kita hargai peranan penting nazir masjid dan pengerusi surau,” katanya kepada pemberita.

IMG_4644Terdahulu, beliau menyempurnakan Program Menyemarak Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Bantuan Moreh Masjid dan Surau serta Bantuan Insentif 2017 di Masjid Negeri, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk berbincang dan meneliti mekanisme sesuai bagi menghargai peranan nazir masjid dan pengerusi surau.

“Pembangunan Islam sememangnnya diberi perhatian besar bukan sahaja dari segi prasarana semata-mata tetapi kita mahu ia dilakukan secara lebih menyeluruh.

“Ia termasuk melengkapkan warga pendidik seperti guru KAFA dengan ilmu dan kemahiran supaya memberi manfaat kepada anak Selangor, pada masa akan datang,” katanya.