Categories
SELANGOR SENI

Sambal Pecal Wak Sarni

Oleh Asmira Suhadis

WAK Sarni tersenyum puas melihat lima kilogram kacang tanah yang siap ditumbuk. Dia membersihkan lesung kayu perlahan-lahan, mengaut sisa-sisa kacang yang masih ada di dalam lubang lesung. Lesung itu banyak jasanya. Walaupun umur lesung itu lebih tua daripadanya tetapi ia masih berfungsi dengan baik.

Lesung peninggalan arwah neneknya itu merupakan peralatan utama untuk menampung rezeki keluarganya, pendapatan arwah suami dan membiaya persekolahan anak-anaknya.

Lesung kayu dari batang pokok nangka diperbuat oleh arwah datuknya, Purboko, seorang pendatang dari Jawa Penorogo yang datang ke Tanah Melayu pada zaman konfrantasi. Alunya diperbuat dari kayu Halban, agak ringan apabila menumbuk kacang yang sudah digoreng garing di dalam minyak panas.

Dalam lesung itulah dicampurkan bawang merah dan bawang putih, ditumbuk sebati kemudian dicampur pula belacan yang sudah digoreng, dicampur lagi dengan cili api yang juga digoreng, ditumbuk sebati hingga bahan-bahan itu bersatu. Kemudian, dicampur asam jawa yang dibuang bijinya, ditambah pula gula Melaka dan garam.

Akhirnya, pelanggan menikmati sambal pecal Wak Sarni yang digaul dengan sayur pilihan. Biasanya sayur yang digunakan adalah kacang panjang, taugeh, pucuk ubi, kangkung dan tauhu yang sudah digoreng.

Dulu, pecal mengandungi pucuk ubi, jantung pisang, betik mengkal taugeh dibuat sendiri dari kacang hijau yang direndam selama tiga malam. Zaman dulu sambal pecal menggunakan cekur tetapi zaman ini, kerana pelanggannya bukan hanya masyarakat Jawa, ramai orang Melayu dan kaum lain – mereka tidak suka cekur yang rasanya yang agak maung dan berbau kuat, Wak Sarni menukarkan cekur dengan hirisan daun limau purut dan halia.

Ia mencetuskan tunas rasa yang hebat dan digemari pelanggan walaupun jauh di hati Wak Sarni berasa ia bukan lagi asli, dipengaruhi oleh budaya Thailand yang banyak mengunakan daun limau purut dalam menu mereka.

Tapi, itulah peredaran zaman, dia sebagai peniaga harus akur kepada kehendak pelanggan. Walaupun cekur itu sebenarnya sangat baik untuk kesihatan tetapi itulah, kebanyakan orang hanya atau makan, bukan mencari khasiat di sebalik bahan makanan.

Manusia sering tertipu dengan rasa, ikut sedap tekak. Mereka kata sambal pecal yang menggunakan cekur tak sedap. Memanglah, ubat mana ada yang sedap.

Kamal, anak sulungnya menyarankan Wak Sarni menggunakan mesin untuk mengisar kacang.

“Cepat. Kalau lima kilogram, dua tiga minit sahaja. Daripada mak guna lesung dan mak tak sakit belakang nanti,” ujarnya tetapi ditolak.

“Rasanya tak sama Kamal. Pakai mesin tak sama macam guna lesung,” kata Wak Sarni.

“Banyaklah alasan mak,”ujar Kamal sedikit kesal.

“Bukan alasan, itu kenyataan. Kaurasa sendiri bezanya sambal belacan yang ditumbuk dengan lesung dengan sambal belacan guna blender,” balas Wak Sarni.

Kamal diam. Malas bertekak, ibunya itu tak pernah mahu mengalah dalam hal makanan. Sesekali Kamal berasa kekolotan ibunya cukup tebal, sukar diubah fikirannya.

Hisyam, anak keduanya pula banyak kali menyarankan ibunya supaya tidak lagi membuat sambal pecal.

“Dahlah mak. Cukuplah saya bagi mak RM500 sebulan,”kata satu-satu anak Wak Sarni yang kerjayanya baik berbanding lapan adik beradiknya.

INFO HADIAH SASTERA“Dah sampai masanya mak berehat, tak payahlah tumbuk kacang buat sambal pecal lagi…”

Wak Sarni tersenyum. Dia tahu niat Hisyam baik. Mahu dia berehat. Kalau diikutkan memang patut dia berehat dalam usia 70 tahun itu, tak lagi perlu bersusah payah cari duit belanja. Memang pemberian Hisyam cukup untuk dirinya tetapi itulah, Wak Sarni seorang emak, memang jadi tabiat semula jadi seseorang emak, hatinya tidak menyampai.

Ada ketikanya Milah, anak perempuannya mengadu beras tak ada di rumahnya. Walaupun bersuami, kadang-kadang ada masanya hidup mereka sempit juga. Dengan anak-anak yang masih bersekolah, hati Wak Sarni tak sampai hati untuk buat-buat tak tahu. Walau Milah tak minta tapi apabila Milah mengadu, Wak Sarni faham. Milah mohon pertolongan secara hormat, mahu tak mahu Wak Sarni hulurlah juga seratus dua pada Milah. Milah janji ganti balik tapi sudah bertindan-tindan dah.

Itu baru Milah. Belum lagi Aris, anak kelimanya yang selalu sesak. Sebagai seorang seniman yang hidupnya bergelumang dengan seni, kadang-kadang tulisannya dibeli orang. Dapatlah rezeki tapi itulah, bukannya drama radionya diambil penerbit setiap hari, hendak jual sebulan satupun payah. Mana hendak beli susu anak, barang dapur lagi, beli itu ini… Sudahnya pada Wak Sarni juga dia mengadu.

Sambal pecal itulah yang menjadi sandaran Wak Sarni untuk anak-anaknya terus hidup. Pada usia ini, Wak Sarni mahu anak-anaknya gembira; kebahagiaan dan kegembiraan anak-anaknya adalah kebahagiaanya, hanya anak-anak yang tak mengerti. Yang mereka tahu… mak ada duit. Susah sikit mak, mak.
Mereka tidak pernah terfikir, bagaimana perasaan mak apabila mereka mengadu kesusahan, hati mak yang tak menyampai, mendengar kesusahan anak dan anak pula terbiasa hidup dengan subsidi, inilah jadinya.

“Memang salah aku, kalau dari dulu aku tak manjakan anak, taklah begini jadinya. Apa nak buat Mira, nanti kau jadi mak, kau tahulah bagaimana payahnya perasaan kau berperang dengan sikap anak-anak hasil salah diri kita sendiri,” keluh Wak Sarni padaku saat membeli sambal pecalnya.

“Kenapa pilih sambal pecal? Wak, kan pandai buat kerepek pisang, senang wak, boleh buat sambil duduk” kataku.

Wak Sarni ketawa.

“Orang muda macam kamu tahu makan sahaja, kerepek pisang memang senang buatnya tapi kosong tak ada pengertian. Seelok-eloknya semua yang kita makan, yang kita guna, biarlah melambangkan peradapan, melambangkan bangsa dan kekitaan kita. Kalau Jawa biarlah ia melambangkan Jawa itu sendiri,’ ujar Wak Sarni.

Sumpah, saya kurang faham dan mungkin langsung tak faham. Beberapa kali saya menggeleng-geleng kepala.
Wak Sarni senyum.

“Dalam pecal, ada berbagai bahan, disatukan ada rasa manis masam, masin itu tanda masyarakat Jawa utamakan kesepakatan dalam membentuk masyarakat, setiap kali kita mengadun pecal dan sambalnya kita baca bismillah, selawat dan salam sebab persepakatan itu juga terkandung dalam agama kita. Dari persepakatan itu, lahirnya keturunan kita, jadi usaha yang kita lakukan itu bersambung dan berhubung kait bukan kerja sia-sia, disitulah keberkatannya” jelas Wak Sarni.

Subhanallah tingginya falsafah kehidupan yang dipegangnya, memang tak pernah aku terfikir.

“Keberkatan hidup berkeluarga terletak di dapur, sebagai ibu, kita wanita kena bijak memilih pemakanan yang baik untuk anak-anak yang akan membesar menggantikan kita, di dapurlah ikatan kekeluargaan itu dapat dilihat dengan jelas, asam garam kehidupan kita. Bagi wak, sambal pecal inilah pegangan wak dalam memberi kasih sayang pada anak anak, wak akan pertahankan sampai bila-bila dan wak berharap ada anak wak yang akan memahami dan mewarisinya nanti,” ujarnya dengan senyuman penuh harapan.