Categories
NASIONAL

Tindakan JPA ancam potong biasiswa tindas semangat mahasiswa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MEI: Tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengancam untuk memotong biasiswa pelajar merupakan penindasan dan langkah mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, biasiswa adalah dana yang diperoleh menerusi hasil negara, yang turut melibatkan hasil cukai yang dibayar rakyat kepada kerajaan.

Katanya, ia adalah hak kepada pelajar yang layak dan keputusan itu menidakkan hak pelajar pintar negara yang tentunya bersifat kritis, analitikal dan cakna kepada persekitaran mereka.

“Jelas keputusan JPA ini mengulangi kezaliman Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang bertujuan menakut-nakut dan sebagai langkah mengendurkan semangat serta iltizam mahasiswa.

“Atau kita mahu generasi kepimpinan seterusnya hanya menjadi pak dungu dan pak turut, hanya menuruti semua perintah tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat dan negara?” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau menambah sifat kritis dan analitikal harus diterapkan sejak awal persekolahan untuk melahirkan generasi kepimpinan masa depan yang lebih baik.

Nurul Izzah berkata Ketua Umum KEAILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengingatkan untuk berusaha ke arah memperkasa budaya keintelektualan bukannya menerusi fokus terhadap pendidikan di kuliah semata-mata.

“Ia juga harus berteraskan prinsip kebebasan akademik, pencerahan dan pemerkasaan intelektual.

“Tidak usahlah kerajaan terus bersandiwara kononnya cuba mendengarkan pendapat orang muda dalam usaha membentuk TN50 sekiranya hakikatnya suara golongan mahasiswa disekat,” katanya.

Beliau berpendapat Kerajaan Persekutuan kini tidak boleh dikritik sekaligus merupakan pentadbiran kuku besi seperti yang diamalkan di negara autokratik, Korea Utara.
=EZY=