Categories
BUDAYA RENCANA

Juri Hadiah Sastera Selangor: Karya belum cukup matang

Majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 pada 20 Julai menyaksikan tiada pemenang utama bagi kategori cerpen, sajak dan esei. Hanya 11 pemenang penghargaan diberi kepada penulis.

Sejak 2015, HSS yang dilhamkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menawarkan seorang pemenang utama dan empat hadiah penghargaan bagi setiap genre.

Dinilai sembilan juri, Dr Faisal Tehrani yang menerajui panel tersebut memperinci aspek penjurian.

Hadiah Sastera Selangor (HSS) memasuki tahun kelima pada tahun 2020. Hadiah ini satu-satunya hadiah sastera yang masih utuh setelah beberapa hadiah sastera lain rebah dan menghilang begitu sahaja. Hadiah ini juga terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada mereka di Selangor sahaja. Ini menjadikan ia semakin diberi tumpuan oleh karyawan seluruh negara, selain menjadi wadah untuk pengarang muda berkincah di gelanggang.

Pihak penganjur telah menyerahkan kepada juri sejumlah 41 cerpen untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi diberikan sebuah hadiah utama, dan empat hadiah penghargaan. Keputusan tahun ini adalah yang paling sulit kami lakukan, tetapi kami sepakat dalam memutuskannya.

Dalam menilai karya yang baik kami mengutamakan wacana-mesej, atau tema yang dihantar di mana ia harus berhubungan dengan masyarakat. Seterusnya kami akan memilih karya dengan gubahan paling halus yang krafnya tidak memaksakan. Kami juga berusaha memahami lambang yang dihantar pengarang dan meneliti aspek bahasa yang digunakan.

[IKUTI RAKAMAN MAJLIS HADIAH SASTERA SELANGOR 2020]

Akhir sekali, karya yang baik menurut kaca mata kami adalah karya yang lengkap dan berjaya dibangunkan dengan saksama mengambil kira semua rukun cerpen iaitu tema, plot, latar, watak dan perwatakan dan sudut pandang.

Kami mendapati cerpen-cerpen ini dari segi gubahannya tidak begitu berbeza antara satu sama lain di mana ia menekankan aspek bentuk dan struktur cerpen (eksperimental), membawa mood urban-kontemporari, menabur falsafah mudah, atau menukangi cerita tentang aspek pengkaryaan itu sendiri. Ia adalah formula ulangan seperti tahun-tahun lalu. Ada kemungkinan karyawan merasakan HSS tertarik dengan petua di atas.

Kali ini, kami mendapati karya yang diserahkan terlalu menyuguhkan falsafah secara mudah dengan sangkaan ia menjadi inti karya yang berwibawa. Naratif yang terbina juga tampak belum mengalami proses pengeraman matang sehingga menimbulkan kesan ketergesaan dengan tempelan fakta. Terdapat misalnya cerpen yang permulaan atau awalannya begitu menjanjikan tetapi klimaks dan peleraiannya bercemperaan tanda aspek-aspek asas pembinaan karya belum dikuasai.

Sebahagian besar cerpen juga tiada tumpuan atau fokus sehingga menimbulkan kesan kusut. Malah, karya juga seakan-akan terlalu mencuba tetapi tidak kesampaian, di mana mesej yang diutus terasa bersimpang-siur. Lebih malang, kami merasai keremajaan karya menenggelamkan kedewasaan seakan-akan HSS ini untuk pengarang peringkat sekolah.

Kami juga mendapati terdapat kecenderungan menunjuk-nunjuk yang mengapungkan kesan mengada-ada. Seperti tahun-tahun terdahulu karya abstrak dan eksperimental lebih menguasai. Ada kemungkinan pengalaman kuarantin menjadikan kebanyakan karyawan memilih sudut pandang pertama.

Seperti boleh dijangka juga karya dengan latar krisis kesihatan turut disinggung, misalnya perihal resah di dalam kurungan, perihal makmal di Wuhan China dan pelbagai lagi. Hal ini menjadi petanda karyawan begitu peka. Namun di tahun yang juga ribut oleh kemelut politik, kami tertanya-tanya mengapa karyawan menghindari tema politik. Tema ini tidak ditemui seperti tahun-tahun sebelumnya.

Rujukan kabur

Simbol dan lambang yang dihantar dalam karya acah mendalam tetapi oleh sebab tiada rujukan yang boleh dipegang ia menjadi terlalu kabur dan menyebabkan tanda tanya mengatasi kesan keindahan dan emosi. Terdapat karya yang mudah tetapi sedap dinikmati manakala terdapat karya terlalu memaksa dan dibuat-buat sehingga runtuh kematangannya. Karya-karya eksperimental yang didatangkan banyak yang mendera, mengecewakan dan jauh dari memuaskan.

Karya dengan nilai keagamaan kekal berkhutbah, manakala karya lain pula kekurangan teknik atau strategi penceritaan. Panel mendapati judul karya tidak menarik dan tidak memanggil. Kami juga mendapati terdapat beberapa karya yang merupakan satu homage, tribut dan semacam interteks dengan karya kanun dunia menyinggung karya dan susuk Seno Gumira Ajidarma, Gabriel Garcia Marquez dan Virginia Woolf.

Kami juri juga tertarik dengan beberapa karya humor yang segar. Akan tetapi karya jenaka ini masih ada kekurangan dari segi rukun cerpen yang sedikit menjejaskan keutuhan produk seni. Karya-karya ini bagaimanapun melepasi pusingan pertama kami.

Antara 41 karya ini; pengarang di Selangorkini ternyata menjadikan ruang ini sebagai medan untuk menguji ghairah berkarya mereka. Seperti tahun-tahun terdahulu, cerpenis di Selangorkini menghirup udara bersih untuk bersuara, di mana campur tangan editor adalah minimal, dan pengarang tidak terikat dengan nilai moral atau stail rumah penerbitan tertentu.

Setelah berbincang, kami menyenarai panjang sembilan cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah:

  • Objek di dalam kotak fakta
  • Kau apa hari ini Melissa
  • Kuncitara
  • Senja merah di madrasah
  • Jalur malam
  • Mak Minah hilang kain kafan
  • Sapat
  • Sebongkah batu di tengah kota
  • Gabriel bukan Marquez

Harus dinyatakan di sini, majoriti juri tidak membaca karya ini ketika ia diterbitkan, justeru tidak mengenali pengarang-pengarang ini. Oleh sebab itu, juri tidak dipengaruhi oleh gaya penulisan, mazhab kepengarangan, gender, ataupun kaum.

Setelah perbincangan mendalam, kami memutuskan untuk tidak memberikan mana-mana karya hadiah utama, dan hanya empat karya disenarai pendek untuk hadiah penghargaan. Cerpen tersebut adalah:

  • Mak Minah hilang kain kafan
  • Kau apa hari ini Melissa
  • Sapat
  • Kuncitara

Cerpen Mak Minah hilang kain kafan adalah karya humor yang secara bersahaja menjadikan isu kepimpinan di Kampung Lidah Budaya sebagai antara mesej utamanya. Karya ini juga menyorot perihal kemiskinan sambil melapiskan dengan persoalan ketidak-pedulian pemimpin politik. Ia juga mudah diikuti kerana lancar dan menghiburkan dalam masa yang sama.

Kau apa hari ini Melissa adalah karya dengan tema LGBT yang langka. Apa yang membuatkan juri tertarik ialah karyawan turut menampilkan hujah kekuatan bahasa Melayu yang tiada gender menjadikan susuk LGBT lebih bermaruah apabila dipanggil. Namun, cerpen ini belum terasa kukuh sementara pengakhirannya agak longgar.

Cerpen Sapat ikut menarik perhatian juri memandangkan ia salah sebuah karya dengan pendekatan realisme yang jarang diperolehi dalam HSS. Karya ini hadir dengan latar berbeza dari kebiasaan iaitu urban-kontemporari tetapi membawa pembaca ke hutan Sarawak dengan terma dan ungkapan natif. Juri dapat mengagak karyawan cerpen ini adalah pengarang yang lebih berpengalaman, memandangkan garapannya serasa matang. Sayang sekali, cerpen ini bergaya menampilkan estetika sehingga membuatkan juri sedikit meraba untuk memahami apa yang ingin disampaikan di hujungnya.

Sebuah cerpen yang agak baik ialah Kuncitara. Cerpen ini menyorot dunia kuarantin yang merimaskan. Ia juga tampil bersahaja dan lucu tetapi belum cukup rapi. Terdapat perhatian oleh juri dengan unsur keganasan yang dikemukakan tetapi juri mengambil keputusan untuk menerima ia seadanya.

Malang sekali, jangkaan kami bahawa karya tahun ini lebih baik dari tahun lalu menjadi sebaliknya. Kami ingin menyatakan kepada karyawan di luar yang menjadikan Selangorkini sebagai medan berkarya, kemerosotan ini tidak harus berlaku. Kebanyakan karya mengulangi kelemahan yang telah ditegur. Untuk mempertahankan mutu HSS agar kekal berkualiti dan terpandang, kami berasa bertanggungjawab untuk melindungi wibawanya.

Justeru demi memastikan keunggulan HSS, kami berpendapat tiada cerpen pada 2020 layak diberikan hadiah utama menurut parameter sedia ada, manakala empat karya layak diberikan hadiah penghargaan.

Tiada takrif yang tepat dan muktamad, seperti apa bentuknya sebuah esei yang baik. Sebuah esei yang baik bagaimanapun lazimnya membentang kesatuan idea yang jitu, dikupas dengan tajam, disampaikan dengan cara bertutur yang lancar serta menunjukkan piawai berbahasa yang tinggi.

Esei juga sewajarnya berupaya menguja taakulan pembaca sekali gus membuka horizon baharu pemikiran pembaca. Dalam kerangka itulah panel juri meneliti 12 esei yang dikemukakan untuk dinilai bagi HSS 2020.

Daripada 12 esei yang dinilai, empat menyentuh tentang filem, tiga mengenai puisi, dua membahaskan isu sastera, sementara masing-masing sebuah esei kupasan novel, bahasa dan budaya.

Secara umumnya, panel sepakat bahawa semua esei yang layak dinilai bagi tahun ini menunjukkan kemerosotan dari segi kualiti berbanding kumpulan esei yang dinilai pada tahun-tahun sebelumnya. Panel berpendapat 12 esei yang dikemukakan pada tahun ini cuba berjuang untuk menjadi esei.

Masih ada kelemahan ketara, yang sesetengahnya berulang-ulang dari tahun ke tahun, berdasarkan laporan-laporan panel sebelum ini. Ada esei yang membayangkan percikan idea tertentu tetapi tidak dikembangkan dengan padu; menerawang dan sesat dalam hujah yang tidak bulat.

Idea yang cuba diketengah tidak dibuktikan dengan hujah yang wajar, malah ada juga esei yang mengangkat idea tertentu tetapi di tengah jalan membahaskan gagasan lain yang menyimpang, kalaupun tidak meruntuhkan kesatuan idea asal.

Tulisan yang mengangkat subjek filem condong berleluasa mencatatkan sinopsis, sehingga membazirkan ruang penerbitan yang sedia sempit – untuk penulisan sekitar 750 hingga sekitar 900 perkataan – yang sepatutnya dimanfaatkan untuk mengupas idea atau gagasan.

Terdapat juga tulisan yang membuat pernyataan idea pada penutup tanpa membina hujah dari awal untuk menegakkan kesimpulan. Rumusannya muncul tiba-tiba dan begitu sahaja tanpa ada penghujahan sokongan dan bukti. Sebaliknya penulis se-olah beria-ia mahu memujuk pembaca untuk mempercayai penyataan idea tersebut.

Terdapat juga esei yang terlalu banyak unsur campur tangan penulis dalam penghujahan dan wacana. Hal ini menjadikan esei bersifat pandangan peribadi serta sekali gus menjadikan penghujahan dan pembuktian lewah dan tidak tuntas.

Ada semacam kecenderungan untuk penulis hadir dan terlibat dalam tulisannya tanpa ada keperluan yang kukuh dan wajar. Tanpa “saya” ini berbuat atau berkata apa-apa pun, sesebuah tulisan, gagasan atau hujahan masih boleh tegak sendiri. Bentuk atau gaya penulisan ini sudah menjadi semacam trend semasa, yang dipercayai tempias daripada kebebasan penulis menerbitkan tulisan mereka di wadah mandiri tanpa editor – di media sosial, misalnya, yang ‘ditentukan’ buruk atau baiknya dengan memadai barangkali dengan perakuan berapa banyak tanda “suka” dan “kongsi” di Facebook.

Bagaimanapun, ada beberapa esei yang menunjukkan upaya penulis untuk mencadangkan gagasan dan kemudian membangunkan pandangan dengan lapis demi lapis hujah yang cuba bersatu. Namun panel berpendapat gagasan atau pandangan itu tidak menampilkan sudut pandang baharu, yang menjadikannya “perlu”, malah tidak juga dipersembahkan dengan kupasan yang tajam dan piawai bahasa yang wajar, yang menjadikannya “sedap”.

Atas penilaian itu, dengan kesulitan menemukan sebuah esei yang unggul mengikut kriteria piawai yang digariskan, panel bersetuju untuk tidak memberikan hadiah utama pada kali ini. Panel bagaimanapun memilih empat esei untuk diberikan hadiah penghargaan sebagai mana berikut tanpa mengikut urutan wibawanya:

  • Jargon: ketidakjujuran bahasa
  • Kejantanan dalam filem Melayu
  • Romantis penjenayah novel Melayu
  • Tipu daya filem ‘wira kulit putih’

Akhirnya, kami harus menyebut bahawa keempat-empat esei yang diperakukan ini – tanpa kecuali – masih boleh ditulis sekali lagi supaya lebih mantap hujahannya dan kemas bahasanya.

Tidak diperam

Juri menerima sebanyak 49 sajak untuk dinilai bagi HSS 2020. Juri membaca, menyaring dan meneliti kesemua puisi dengan berhemat dan teliti.

Semenjak diperkenalkan HSS, telah lahir ramai nama baru dalam dunia penulisan puisi di Malaysia. Penganjuran hadiah ini memberi ruang kepada penyair mencuba pengucapan gaya bahasa segar, berani meneroka isu baharu, bermain bentuk tanpa campur tangan atau kekangan oleh tangan editor.

Namun pada tahun 2020, juri mendapati mutu sajak pada tahun ini merosot dengan ketara berbanding pada tahun lalu dan tahun sebelumnya. Kebanyakan sajak hadir pada kadar sederhana dan kurang menawarkan sesuatu yang menjanjikan. Juri dan editor sependapat kurangnya puisi bermutu yang dihantar kepada pihak editorial berbanding tahun terdahulu. Juri berpendapat keperluan untuk editorial mencari dan menawarkan ruang puisi di akhbar Selangorkini kepada penulis-penulis berbakat.

Secara keseluruhan, kebanyakan sajak yang dinilai berlegar kepada isu dan tema yang sepunya. Beberapa sajak berefleksi peristiwa besar yang membelenggu tahun 2020 iaitu wabak Covid-19, musim kuarantin dan peralihan kuasa politik. Peristiwa ini mencetuskan rantaian kritikan sosial seperti isu di sempadan negara dan ekonomi rakyat. Sajak ketuhanan menggelintar keluar dari rintih dan keluh kesah serta mencuba pengucapan baharu. Ini menampakkan penyajak responsif kepada persekitaran, kritis dan peka serta tidak takut mengkritik tajam.

Selain itu, tema yang berulang dan menjadi kegemaran penulis pemula ialah sajak pengakuan dan romantis. Berkemungkinan tempoh berkurung dan kuarantin yang panjang menjelmakan ilham sedemikian. Terdapat juga usaha mengambil subjek bukan konvensional dalam garapan karya serta pengaruh bacaan tokoh dan peristiwa dijalinkan dalam baris sajak. Puisi prosa menjadi pilihan beberapa penulis pada tahun ini dan juga hadir beberapa sajak berbentuk eksperimen dan metafizik. Tahun ini juga menampakkan pengurangan sajak yang menggunakan unsur hiperbola yang berlebihan seperti tahun lalu.

Namun, kelemahan ketara dikesan dalam beberapa aspek penting. Terutamanya dalam pembinaan bahasa sajak yang cermat dan baik. Kebanyakan sajak diungkapkan dalam gaya bahasa yang mudah, kurangnya ketertiban gubahan, beberapa diksi dan imejan yang berulang dalam beberapa sajak, teknik persajakan yang klise, didaktik dan tema keakuan yang kental. Penyajak tidak cermat memilih kata dan menyusun komposisi yang konsisten untuk mengalir elok pada ungkapan mahupun pemaknaan. Juri sependapat kebanyakan sajak terbit dalam keadaan separa matang, tidak diperam dan disunting jitu.

Juri juga mengesan percubaan penyajak untuk menyelitkan baris daripada penyair terkenal, meminjam mitos, melambakkan jargon, kosa kata arkaik serta nama tokoh dari luar. Tetapi proses penulisan dilakukan tanpa cerapan dan kefahaman tulus dari nurani penyajak. Malah jangkauan pemikiran yang diapungkan dalam pemilihan kata, tidak berupaya memperkayakan pengalaman pembacaan khalayak.

Beberapa sajak cuba tampil dengan dandanan bahasa sederhana dan ekonomis namun kelemahan ketara dikesan apabila kaedah penyampaian terlalu langsung dan polos serta luapan perasan yang tidak setara dengan isinya. Ini mencerminkan ikutan gaya yang melulu tanpa memperhalus teknik kesederhanaan yang tampak mudah tetapi sebenarnya tidak enteng untuk diungkapkan.

Judul melulu

Dari segi revolusi bahasa, tiada perkembangan mendadak yang menggugah dan memberi impak emotif yang dikenang. Beberapa sajak juga tidak mencapai keutuhan idea walaupun sudah membuka dengan premis yang menjanjikan.

Juri juga mendapati kelemahan ketara dalam sebahagian besar sajak ialah pada penyandingan kata yang janggal, pemerengganan yang culas, pemilihan bentuk sajak yang kurang sesuai, pemilihan judul yang terlalu melulu dan kurang puitis. Ini menyumbang kepada pengurangan nilai estetika sajak.

Setelah pertimbangan teliti, juri bersepakat memperakukan tiada pemenang untuk hadiah utama dan memilih tiga sajak sebagai penerima hadiah penghargaan.

Keputusan yang sukar ini diambil kerana tiada karya yang utuh kukuh sebagai pemenang utama dan kebanyakan sajak berada pada liga yang hampir sama serta tidak menampakkan jurang yang terlalu jauh antara satu sama lain. Ketiga-ketiga ini mempunyai kekuatan yang hampir setara dalam darjah yang tersendiri.

Ketiga-tiga sajak ini layak diberi penghargaan sekurang-kurangnya memenuhi pembinaan bahasa sajak yang baik, susunan idea dan pengungkapan yang mengalir dari awal sehingga akhir, komposisi rima dan bunyi yang indah serta terkandung usaha penyair mengalirkan luapan emosi dan imejan yang sesuai dengan konteksnya. Meskipun ada yang tampil sederhana tetapi secara keseluruhan pemenang ada konsistensi sama ada alir bahasa, pengungkapan kata, komposisi dan impak emotifnya.

Puisi yang menjadi pilihan jitu juri ialah Tubuh yang terpecah menjadi catatan. Dalam beberapa sajak prosa yang dinilai, puisi ini mengambil tubuh bentuk yang baik dan faham akan bentuk yang dipilihnya. Temanya sederhana, romantis dan mempunyai serampang makna antara perkasihan dan penulisan. Aliran pengisahan mengalir lancar sedari awal sehingga akhir. Perlambangan antara perkasihan dan penulisan saling melompat dan dikawal baik.

Pemilihan katanya meski ada warisan dari penyair mapan seperti “kejora, “bulan”, ”temaram” tetapi dipercikkan dengan penyandingan kata yang baik sehingga menghilangkan kelesuan. Bahasanya didandan sederhana, tidak berlebihan hiperbola, ada percubaan ungkapan segar yang menjadi seperti “memanjat alis bukan pada waktu kebiasaan”, “beberapa babak romantis melompat keluar dari kitab petualangan”.

Meskipun begitu, sisa pengaruh puisi Indonesia membekas dalam beberapa baris sajaknya.

Manakala sajak Teluk Kumbar – selepas Anis Mojgani yang mengajuk tokoh penyair Anis Mojgani tampil sederhana, terkawal, permainan pengulangan yang menjadi dan menyentuh. Penulis memerikan warna pasir seperti gula, percubaan keluar dari kelesuan bari dan ibarat yang telah dibancuh oleh penyair terdahulunya. Permainan bunyi menjadi kekuatan sajak ini. Perkaitan antara pantai kepada laut kepada angin kepada udara kepada penyair mewarisi bentuk mantera yang berulang-ulang dan memberikan getaran pembacaan.

Manakala sajak Mata wang merupakan sajak yang terpelihara dari bentuknya yang konvensional, tema kritik sosial dan dipancung dengan persoalan tajam. Ungkapan yang memikat seperti “gunung purba yang menidurkan api”, “memilih saku lebih lebar dari baju”, “tetap namamu berbintik terawet wang sogokan”. Teknik persajakan seperti simile dan personifikasi digunakan dalam ruang yang tepat dan tidak diletakkan melulu tanpa konteks sewajarnya.

Kami panel juri ingin memberikan kredit kepada pihak Selangorkini, Kerajaan Negeri dan para editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi, tanpa sebarang prejudis. Kami juga bersepakat menganjurkan pihak Selangorkini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan ini semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan diberi terus diberi perhatian dan sokongan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Anugerah Hadiah Sastera Selangor memartabat bahasa Melayu

SHAH ALAM, 21 JULAI: Penganjuran anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) membantu usaha memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan tamadun.

EXCO kebudayaan berkata program berkenaan seiring hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa mengimbangi pembangunan fizikal dan perkembangan intelektual.

“Kita mahu kembalikan zaman keemasan tamadun Melayu suatu waktu dulu, biar berbekas hati dan jati diri kita,” kata Borhan Aman Shah dalam majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 semalam.

Menyifatkan mata pena lebih tajam daripada mata pedang, beliau turut menghargai penyertaan penulis yang menyokong usaha Selangor memartabat sastera Melayu.

“Penulis memapar wajah bangsanya, teruslah menulis demi membentuk sebuah bangsa yang membaca, yang dihormati lagi mulia,” katanya.

Penganjuran kali kelima sejak diperkenal pada 2015 hasil cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjadi EXCO kebudayaan.

Akhbar Selangorkini yang diterbitkan Media Selangor, sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri, menyiarkan cerpen, sajak dan esei untuk dinilai panel juri bebas.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Tokoh bahasa pelopori perjuangan, sastera buka jalan kemerdekaan

Hadiah Sastera Selangor (HSS) menyediakan satu hadiah utama dan empat hadiah penghargaan dalam tiga kategori iaitu cerpen, sajak dan esei. Selangorkini menjadi wadah untuk penulis berkarya manakala tulisan dinilai panel juri bebas.

Mengilhamkan anugerah ini sejak 2015, Dato’ Menteri Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan majlis anugerah untuk edisi 2020menerusi Facebook Media Selangor pada 20 Julai. Berikut teks ucapan beliau: 

Setinggi rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk meraikan anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 yang telah memasuki tahun kelima penganjurannya semenjak tahun 2015.

Saya berasa sangat gembira kerana usaha yang saya mulakan ketika menjadi Exco Kebudayaan pada ketika itu masih dapat diteruskan walaupun dalam suasana yang berbeza ketika pandemik melanda kerana kita tidak dapat bersua muka dan berjabat salam seperti di dalam sebuah majlis sebelum ini.

Sudah tentu HSS bukan semata-mata bertujuan untuk menjadi sebuah acara sastera biasa yang dianjurkan untuk memberi penghargaan kepada penulis. Tetapi juga harus menjadi wadah yang dapat meningkatkan mutu penulisan dari tahun ke tahun.

Oleh kerana itu, daripada awal lagi saya menekankan tentang peri pentingnya penilaian terhadap karya-karya yang dihantar dibuat oleh juri-juri yang berpengalaman dan profesional, terdiri daripada penulis, wartawan, penterjemah dan juga penggiat sastera yang berwibawa.

Mereka bukan sahaja diberi sepenuh kebebasan untuk memilih para pemenang tetapi juga perlu menyiapkan laporan penjurian yang akan menjadi kayu ukur kepada kemajuan hadiah sastera ini dari tahun ke tahun. Saya percaya laporan ini juga dapat menjadi rujukan kritis kepada para penulis terutamanya generasi baharu untuk meningkatkan mutu karya mereka.

Saya sempat meneliti laporan penjurian di mana secara umumnya kita dapat mengatakan bahawa terdapat sedikit penurunan kualiti karya pada tahun lalu sehingga memaksa para juri memberikan hadiah penghargaan untuk setiap kategori dan tidak diberikan atau di-umumkan pemenang-pemenang hadiah utama.

[IKUTI RAKAMAN MAJLIS ANUGERAH HADIAH SASTERA SELANGOR 2020

Laporan penjurian yang diselia oleh Dr Faisal Tehrani juga memberikan kritikan dan saranan yang saya percaya sangat berguna untuk diteliti oleh penulis-pe-nulis muda agar mereka dapat meningkatkan lagi mutu penulisan mereka pada masa akan datang.

Dalam majlis terakhir kita pada 2019, saya telah mencadangkan untuk melaksanakan master class (kelas induk), namun disebabkan pandemik pada 2020, ia tidak dapat dilaksanakan. Mungkin ini sebahagian ka-
edah yang boleh dipertingkatkan di masa hadapan, dalam kalangan juri ataupun dalam kalangan penulis-penulis yang telah termasyhur atau ternama serta menempatkan tempat dan nama me-reka pada persada sastera dan kesenian dalam negara boleh dilaksanakan pada masa depan untuk meningkatkan kualiti penulisan dan karya dihasilkan.

Cabaran penulis muda

Ini adalah cabaran yang perlu disahut oleh penulis-penulis muda dan generasi baharu kerana mereka seharusnya menghasilkan karya yang lebih baik daripada generasi terdahulu disebabkan pendedahan dan capaian yang lebih luas pada masa kini.

Sejarah pembentukan negara ini jika ditelusuri terkait rapat dengan perjuangan bahasa dan persuratan Melayu. Kesedaran untuk mempelajari bahasa Melayu dengan serius boleh dikatakan bermula pada pertengahan abad ke-19 oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi yang menerbitkan Hikayat Abdullah pada tahun 1849.

Di dalam hikayat tersebut Abdullah menyatakan kekesalannya kerana ramai dalam kalangan orang Melayu tidak mahu mempelajari bahasa-nya sendiri kerana bagi beliau tanpa kemahiran bahasa, ilmu pengetahuan di dalam pel-bagai bidang tidak dapat disebarkan secara tuntas.

Benih pemikiran Abdullah kemudiannya tumbuh menjadi sebuah organisasi penting dalam memperjuangkan kemajuan bahasa Melayu apabila tertubuhnya Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa di Johor Bahru pada tahun 1888 di mana salah seorang pengasasnya adalah Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi anak lelaki Abdullah Munsyi. Pakatan menjadi kolek-tif atau perkumpulan pertama di Tanah Melayu yang menyusun kegiatan pembinaan dan pengembangan bahasa dalam negara pada ketika itu.

Pada zaman yang penuh pergolakan dan ancaman penjajahan pakatan tersebut menjadi lembaga yang merangka tatabahasa dan mencipta istilah baharu seperti ‘setiausaha’, ‘pejabat’, ‘kerja raya’, ‘jadual waktu’, ‘warta’ dan banyak lagi. Penubuhan pakatan juga menjadi inspirasi kepada penubuhan persatuan-persatuan bahasa di negeri-negeri lain kemudiannya.

Antaranya adalah penubuhan persa-tuan Sahabat Pena Malaya yang diusahakan oleh Syed Sheikh Alhadi di Pulau Pinang pada tahun 1930-an yang kemudiannya meluas ke negeri-negeri lain juga. Persatuan ini juga pernah menganjurkan persidangan pertama orang Melayu di Tanah Melayu yang diadakan di Taiping, Perak. Ketika itu juga terdapat Pejabat Karang Mengarang yang dike-tuai oleh Za’ba yang menerbitkan dan menterjemah buku-buku untuk kegunaan pelajar-pelajar di sekolah.

Nama-nama yang saya sebutkan tadi bukan saja terlibat dalam bidang kesusasteraan dan penulisan atau persuratan. Nama mereka bukan saja masyhur, menerbitkan karya-karya yang hebat, terkenal dan berwibawa sampai ke hari ini.

Namun nama-nama tersebut juga terlibat dalam buku-buku sejarah sebagai pejuang dan juga pelopor gerakan kemerdekaan yang membawa kepada kebebasan kepada negara kita. Ramai dalam kalangan tokoh-tokoh nasiona-lisme Melayu seperti Datuk Onn Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Ibu Zain, Pak Sako dan Burhanuddin Al-Helmi terlibat rapat di dalam perjuangan bahasa ini.

Seperti yang dinyatakan oleh Sasterawan Ne-gara Abdullah Hussain, melalui organisasi ini mereka belajar menulis melalui surat-surat yang diutus sesama mereka dan juga tulisan yang disiarkan di dalam majalah dan penerbitan berkala.

Perjuangan bahasa ini seterusnya menjadi sebahagian daripada aspirasi kemerdekaan di mana peranan ASAS 50 yang menjadi kumpulan pendesak melalui siri-siri penganjuran Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu meletakkan dasar dalam pembinaan bahasa dan kesusasteraan Melayu di dalam konteks pembangunan negara bangsa.

Perkasa kesusasteraan

Sejarah panjang perjuangan bahasa ini perlu difahami sebagai sebahagian daripada kesedaran sejarah pembentukan negara ini. Kita dapat melihat bagaimana kecintaan terhadap bahasa membentuk sikap antikolonialisme dan membuka jalan kepada pemikiran yang mandiri sehingga menjadi satu perjuangan menuntut kemerdekaan dan mendirikan sebuah negara yang berdaulat.

Apa sahaja perubahan yang kita canangkan tidak akan lengkap tanpa kemajuan bahasa dan kesusasteraan. Perubahan yang sebenar bukan semata-mata perubahan politik atau kuasa tetapi juga mesti berlatarkan perubahan kebudayaan.

Justeru itu, Kerajaan Selangor akan meneruskan komitmen dan usaha untuk meningkatkan mutu bahasa Melayu misalnya melalui penterjemahan karya-karya besar dunia daripada pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu dan juga penganjuran HSS setiap tahun. Saya juga dimaklumkan bahawa untuk edisi yang seterusnya penilaian HSS akan diperluaskan kepada karya-karya yang terbit di akhbar lain.

Media Selangor akan menjalinkan kerjasama strategik dengan akhbar-akhbar arus perdana yang lain dan juga orga-nisasi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Kategori novel juga akan diperkenalkan untuk dinilai oleh juri.

Saya sangat menyedari bahawa di dalam tempoh pandemik yang sukar ini ramai pemain industri kreatif dan penggiat seni tidak dapat bergerak dan berkarya seperti biasa. Namun saat ini juga memerlukan kelompok kreatif untuk merakamkan momen penting di dalam sejarah manusia dan diangkat secara halus sebagai karya seni sama ada dalam bentuk filem, catan, lagu dan juga fotografi.

Inilah yang saya sebutkan tadi, bagaimana perjuangan dan pergelutan sebelum kemerdekaan telah menganjak rakyat dan warga dalam negara kita untuk bersama-sama menuntut kemerdekaan. Dalam beberapa momen penting di negara kita, karya sastera, seni dan kebudayaan melatari perjuangan, dan bukan saja merakam detik-detik penting. Pengalaman kita dalam menuntut kemerdekaan, pengalaman kita berdepan krisis tahun 1980-an dan 1990-an, telah menyediakan pintu-pintu keterbukaan dan pintu-pintu jalan penyelesaian terhadap krisis yang kita lalui.

Justeru, Kerajaan Negeri akan umumkan dalam masa terdekat, insya-Allah. Kita sedang teliti secara komprehensif bagaimana ingin membantu pengkarya seni dan penggiat kebudayaan agar me-reka dapat menyumbang buah fikiran mereka dalam bentuk karya. Sebahagiannya akan dibiayai oleh Kerajaan Nege-ri supaya mereka dapat menyambung hidup mereka yang terdesak ketika pandemik ini.

Saya mahu mereka menyumbangkan karya dan kreativiti mereka untuk sama-sama memikirkan bagaimanakah rupa kita ketika berdepan krisis ini, bagaimanakah wajah kita ketika melalui detik-detik yang sukar ini. Apakah cabaran-cabaran di depan, apakah sudut dan bingkai yang mungkin tidak dapat dilihat oleh orang lain, oleh mereka yang tidak mendalami setiap detik yang kita lalui.

Insya-Allah, saya akan umumkan dalam masa terdekat dengan kerjasama exco kebudayaan (Borhan Aman Shah) supaya kita dapat mengangkat semua kelompok, kita pastikan tidak ada yang tertinggal di Selangor walaupun kita berdepan dalam detik yang sukar dan mencemaskan.

Akhirul kalam, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang. Semoga anda semua terus bersemangat untuk berkarya dan menghasilkan penulisan yang berkualiti yang dapat menjadi sebahagian daripada khazanah sastera dunia.

Terima kasih juga dengan komitmen daripada Yang Berhormat Borhan Aman Shah, Mohamed Fareed Asharee dan juga pasukan Media Selangor. Dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim saya merasmikan pelancaran buku Sipena, antologi keempat Hadiah Sastera Selangor 2020.

***Ucapan penuh di majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 pada 20 Julai

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jalin kerjasama DBP, Hadiah Sastera Selangor perluas nilai karya

SHAH ALAM, 21 JULAI: Penilaian karya kreatif untuk anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) diperluas meliputi tulisan terbitan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd berkata keputusan itu berikutan penganjur telah menjalin usahasama dengan DBP manakala kerjasama beberapa organisasi lain sedang dimuktamad.

“Kami (Media Selangor) juga berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan beberapa pihak dan kita telah menerima persetujuan daripada pihak DBP untuk meningkatkan lagi kualiti serta jangkauan HSS.

Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree

“Alhamdulillah, pelbagai rancangan dibuat untuk merancakkan dunia sastera,” kata Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree dalam majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 semalam.

Selain itu, Mohamed Fareed berkata usaha merancakkan lagi kegiatan penulisan sastera turut dirancang termasuk mengadakan kategori baharu membabitkan penulisan novel.

Beliau juga menjelaskan halaman sastera dalam akhbar Selangorkini menerima sambutan menggalakkan khususnya dari kalangan penulis muda sejak diperkenal pada 2015.

“Pemerhatian kami juga mendapati ada dalam kalangan pelajar mengirim hasil karya penulisan mereka. Ini kami jangka hasil dorongan para guru” katanya lagi.

Penganjuran HSS merupakan cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjadi EXCO kebudayaan.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Pemenang Hadiah Sastera Selangor diumum 9 malam esok

SHAH ALAM, 19 JULAI: Pemenang bagi anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 akan diumumkan dalam siaran menerusi Facebook Media Selangor jam 9 malam esok.

Sebanyak tiga kategori dipertanding meliputi cerpen, sajak dan esei yang dinilai panel juri bebas berdasarkan karya tersiar dalam Selangorkini, akhbar terbitan Media Selangor.

Seorang pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala empat hadiah penghargaan RM1,000 disediakan untuk setiap kategori, bergantung kepada keputusan panel juri.

Merasmikan acara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendeklamasi puisi seterusnya melancarkan antologi Si Pena, himpunan karya pemenang tahun sebelumnya.

Majlis turut dimeriahi dengan gesekan biola Endang Hyder Zainuddin dan tiupan saksofon Aliff Ismail.

Selain pengumuman pemenang, penonton bertuah berpeluang menang wang tunai sehingga RM200 ketika menonton siaran tersebut.

Seramai 11 penonton dipilih setiap lima minit untuk memenangi wang tunai RM50 hingga RM100 seorang, sementara pemenang bertuah akan mendapat RM200.

Dianjurkan sejak 2015 ketika Amirudin sebagai EXCO kebudayaan, Hadiah Sastera Selangor mendapat sambutan menggalakkan saban tahun.

Jangan lupa tonton di Facebook Media Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tonton siaran Hadiah Sastera Selangor, menangi hingga RM200

SHAH ALAM, 18 JULAI: Orang ramai berpeluang memenangi wang tunai sehingga RM200 ketika menonton majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 pada 20 Julai.

Majlis tahunan ini dianjurkan bagi mengumumkan pemenang tiga kategori karya sastera termasuk esei yang diterbitkan akhbar mingguan Selangorkini.

Program yang dirasmi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan disiarkan jam 9 malam menerusi Facebook Media Selangor.

Majlis itu dimeriahkan oleh bacaan puisi bertema pandemik oleh Amirudin dan juga gesekan biola Endang Hyder Zainuddin serta tiupan saksofon Aliff Ismail.

Seramai 11 penonton dipilih setiap lima minit untuk memenangi wang tunai RM50 hingga RM100 seorang, sementara pemenang bertuah akan mendapat RM200.

Dianjurkan sejak 2015 ketika Amirudin sebagai EXCO kebudayaan, Hadiah Sastera Selangor mendapat sambutan menggalakkan saban tahun.

Jangan lupa tonton di Facebook Media Selangor.

Categories
BUDAYA RENCANA

Hari tanpa kepala

 Oleh Tramizi Hussin

 

SAYA patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, pagi tadi saya bangkit tanpa kepala selepas matahari hampir membuka separuh matanya.

Saya gagau telefon bimbit, walaupun saya maklum benar yang tidak pernah ada mesej diterima selain daripada kumpulan borak “Geng Encik Bos” yang terpaksa saya bisukan selepas setiap kali habis waktu bekerja. Setengah jam di atas tilam, membuka media sosial yang sepi sapaan dan membaca berita terkini pagi hari yang saya cuba ambil peduli. Bagaimana saya melihat semua itu tanpa mata yang letaknya di kepala? Saya tidak pasti.

Waktu saya berdiri di depan cermin di dalam bilik air, mengelak mata bertemu bayangan sendiri, saya masih tidak sedar saya sudah tidak berkepala. Hanya waktu saya ingin menggosok gigi, barulah saya sedar mulut sudah tiada. Bukan sekadar mulut, tetapi juga seluruh kepala. Yang tinggal hanyalah leher dengan halkum bergerak naik turun. Sesak.

Saya kejur, bagaimana hendak hadapi dunia? Tidak, saya tidak rindukan kepala berwajah saya itu. Apalah yang hendak dirindukan kepada wajah bukan hero filem? Orang tidak berupa tidak patut melihat cermin selepas bangun tidur.

Anehnya, saya masih boleh melihat walaupun tidak bermata. Di cermin, leher berlapis lemak saya masih berombak mengagau nafas dan berusaha menahan tarikan graviti daripada menariknya lembik ke bahu. Saya masih boleh menghidu bau nasi lemak ditanak jiran sebelah dan saya masih mendengar anjing mengggonggong di luar rumah.  Adakah saya sudah jadi amoeba yang tidak perlukan organ?

Terlalu banyak pertanyaan pagi hari adalah perkara yang memenatkan. Jadi saya teruskan mandi membasuh badan tanpa kepala.

Saya mahu minta cuti hari ini. Tetapi, cuti tahunan sudah habis, mahu ambil MC adalah penyeksaan kerana pintu klinik terhampir rumah saya terpampang poster Dr Mahathir tersengih dengan tulisan Comis Sans besar warna merah darah: “Saya 93 tahun masih bekerja, awak mahu minta MC?”

Jadi, saya terus bersiap untuk bekerja. Keluar bilik, teman serumah sedang berlari-lari anak keliling ruang tamu. Dia mahu sihat untuk hidup seribu tahun lagi, saya tidak mahu. Di rumah bujang, kami mengelak bertembung muka di awal pagi, sesuatu yang tidak mengasyikkan untuk dipandang. Jadi, dia tidak sedar saya sudah tidak berkepala.

Kerana saya tidak berkepala, saya tidak memandang ke bawah, juga tidak mendongak ke atas di pejabat. Saya hanya memastikan leher stabil dan tidak terlesu di bahu.

Bos saya masuk kerja dengan marah-marah, menjerkah: “Mana otak kau? Buat kerja macam ni!”

Saya hanya tegakkan leher tanpa kepala.

Selepas itu, tiada siapa lagi yang menganggu. Seperti lipas, orang tidak halau kerana bimbang terbang mengacau, tetapi juga tidak hampir kerana kotor. Lipas boleh hidup tanpa kepala selama seminggu. Mungkin juga saya boleh.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, di stesen KL Sentral selepas habis kerja, walau sudah sepuluh buah gerabak berlalu, saya masih tidak berganjak.

Saya menunggu Dia. Saya tidak berkepala, tetapi saya masih berdada yang dalamnya ada jantung berdegup kencang. Hati saya masih berdiam menjalankan kerjanya supaya saya tidak jadi manusia kuning tanpa kepala.

Dia selalu muncul tepat jam enam petang, menunggu di platform yang sama dengan saya. Bertahun, saya setia menanti tetapi tidak sekalipun bertegur.

Saya turun di stesen sebelum Dia, saya tidak pasti Dia turun di mana. Dia mungkin turun di stesen terakhir, mungkin juga di salah sebuah stesen sebelum yang terakhir, saya tidak tahu.

Hari ini, saya berdiri di sebelahnya dan buat pertama kali Dia memandang. Tetapi kerana saya tidak bermata walaupun leher saya berputar ke arahnya, pandangan itu tidak jatuh ke jantung. Barulah saya menyesal tidak berkepala dan bermata hari ini. Tetapi, bukankah lebih menyakitkan jika saya berkepala?

Gerabak tiba dan pintu terbuka. Dia masuk ke dalam dan saya membontotinya, lagak lelaki penyumbaleweng cari peluang. Di dalam gerabak, manusia kepam berhimpit menolak saya ke arahnya. Dia memalingkan badan ke luar gerabak, tidak mahu mendepani saya.

Leher saya longlai ke bahu, mahu masuk ke dada membelit jantung pecah. Mungkin saya tidak perlukan jantung, seperti obor-obor yang hanya ikut arus. Obor-obor tanpa jantung boleh hidup berpuluh tahun. Mungkin juga saya begitu.

Saya patut mulakan dengan sesuatu yang luar biasa.

Misalnya, waktu saya duduk luar rumah mengharapkan ada mulut untuk merokok, ada hantu yang mengensot datang. Hantu itu rambutnya panjang lurus menutup muka, sekurang-kurangya dia ada kepala, cuma tidak berkaki. Saya tidak pasti tentang jantung, saya tidak tanya.

“Berikan aku kaki kau, bukan kau guna pun. Aku datang pun kau tak lari,” katanya.

Saya berdehem tanda tidak senang dan tidak mahu.

“Bolehlahhhh,” rayunya dan mengengsot makin dekat.

Saya tidak jadi berdehem untuk kali kedua.

Perlahan-lahan hantu itu melilit kaki saya dengan tubuh bawahnya yang seperti ekor ular itu.

Bunyi tulang pecah kedengaran. Saya tidak berasa sakit dan saya tidak mahu melawan. Saya hanya mahu merokok sebenarnya.

Tahu-tahu sahaja, kaki saya sudah tiada. Saya pula yang kini mengengsot. Hantu itu sudah berdiri dengan kaki yang pernah jadi milik saya. Tersenyum lebar menampakkan deretan gigi tajamnya. Mukanya masih pucat lesu, matanya merah menyala. Saya tidak tahu apa jenis hantu, jangan tanya.

Dalam ruang kesedaran yang hampir lenyap, saya bertelapati kepadanya.

“Aku tiada kepala, tiada jantung, tiada kaki, apa aku nak buat?”

“Dasar pemalas. Meninggal je lah,” ejeknya sebelum berlari-lari anak masuk ke dalam semak.

Mungkin saya boleh hidup seribu tahun lagi.

Categories
BUDAYA RENCANA

Taubat

Di rahim malam diam pun telah kukiam
tanpa kelam, tanpa dendam
tidak kulelah dalam pasrah
tidak kuundang ketentuan
itu urusan Tuhan.

Andai ada perhentian
akan kutuliskan di dada kanan
di situlah kolam kalimah
di situ bermulanya syahadah
dan di situ juga termetrinya akidah.

Takdir tidak mungkir
matahari berjanji pasti dan dalam waktu yang bergulir akulah sang musafir yang memetik insaf
dari daun-daun khilaf.

Roh dan semangat bersatu
dalam dunia yang hebat dan berfirasat
bersama seorang pendosa yang hanyut dalam taubat.

Pak Lang Meru

 

Categories
BUDAYA RENCANA

Ahmad dan takdirnya

Oleh Aliaa Alina

Ahmad terjaga daripada lena. Dia masih lagi berada di dalam bas kuning itu.  Dari tingkap bas, dia melihat bas itu sedang melalui sebuah padang yang tandus.

Dia memandang ke kerusi hadapan.

Kosong.

Lantas dia segera menoleh ke tepi. Manusia dis ebelahnya bukan lagi ibu, sebaliknya diganti oleh seorang lelaki yang tua.

“Mana mak dan ayah?”

Lelaki tua itu berpaling ke bahagian kiri bas, di mana ibu dan bapa Ahmad sedang duduk bersama-sama orang kampung yang lain.

“Mengapa mereka ada di sana. Siapa kamu?”

Lelaki tua itu sekadar tersenyum, tidak menjawab persoalan Ahmad yang baru berusia 12 tahun.

“Mak! Ayah!”

Jerit Ahmad kepada mereka. Ibu dan ayah tidak menoleh kepadanya, seolah mereka tidak mendengar atau enggan mempedulikannya. Muka mereka suram, seperti dalam keadaan bersedih. Semua manusia itu berwajah muram, terutamanya Penghulu kampung yang duduk di kerusi hadapan bas.

“Ahmad.”

Panggil lelaki tua, dengan suara yang lembut. Agak tidak padan jika dibandingkan dengan wajahnya yang agak garang dan keras.

“Usahlah kamu memanggil-memanggil ibu dan bapa kamu. Kerana ketika ini, mereka dalam perhitungan dan hanya peduli dengan nasib diri sendiri sahaja.”

Tiba-tiba, bas berhenti di pertengahan jalan. Penghulu melangkah perlahan menuruni bas itu.

Dari kaca tingkap, Ahmad melihat Penghulu mengangkat seikat kayu lalu diletakkan di belakang bahunya. Muka Penghulu berkerut menahan sakit, namun dia tetap menambah beban kayu di belakangnya sehingga dia jatuh tersungkur ke tanah.

Penghulu bingkas bangun, dengan peluh membasahi tubuh kerana membawa berat yang tidak padan dengan tenaga tuanya.  Walaupun kepenatan, tangannya masih ligat menambah bilangan kayu di belakang tubuh untuk dipikul.

Bas itu meluncur pergi meninggalkan Penghulu yang bersungguh-sungguh menanggung berat kayu di bahu, meskipun dia tidak lagi terdaya.

Ahmad masih tidak memahami, adakah ini mimpi pelik, seperti yang selalu dialaminya jika dia tidur pada waktu Maghrib. Kerana kata ibu, dia tidur dengan syaitan bergayutan di kelopak matanya ketika itu.

“Siapa kamu?” soal Ahmad sekali lagi kepada lelaki tua itu.

“Saya adalah Takdir kamu, Ahmad.”

Ahmad jeda.

“Takdir adalah seorang lelaki yang tua?”

Takdirnya mengangguk, sambil tersenyum.

“Di sini, saya kelihatan tua kerana saya sekadar menjadi peneman kamu sehingga ke akhir perjalanan ini.”

“Mengapa saya berada di sini, Tuan Takdir?”

“Kamu berada di alam kematian, Ahmad. Dan di penghujungnya, adalah syurga untuk kamu.”

Ahmad menoleh ke arah ibu bapanya. Muka mereka masih sugul dengan kepala menunduk ke bawah.

“Adakah mak dan ayah akan masuk ke syurga sekali?”

Takdir menjadi hiba, lantas dia menggeleng.

Sinar di luar bas semakin terik. Tanahnya kering dan merekah, dan adanya lubang-lubang kecil yang mengeluarkan asap di permukaannya.

“Jadi mereka akan ke neraka?”

“Biarlah nasib mereka ditentukan oleh pemilik mereka.”

“Tapi saya mahu mereka ke syurga bersama saya.”

Ujarnya dengan suara yang bergetar. Matanya berair, lantas segera dikesat dengan hujung baju.

“Jika kamu mahu begitu, kamu boleh hidup semula, lalu berdoalah atau bersedekah atas nama mereka berdua. Namun sanggupkah kamu menolak peluang kehidupan abadi yang paling bahagia?”

Sekali lagi, bas itu berhenti. Pintu bas terbuka, dan cahaya terik yang memijarkan kulit menyuluh masuk ke dalam bas. Semua manusia di dalam bas berserta ibu bapanya bangun lantas meninggalkan Ahmad dan Takdirnya.

Ahmad memanggil nama mereka, namun tiada suara keluar, dan kakinya cuba untuk bangun, tetapi gagal. Seluruh anggota badannya enggan menurut, seperti mereka ada pemikiran atau kemahuan sendiri.

Bas bergerak, dan meninggalkan sekumpulan manusia yang kegelisahan di tengah jalan yang berdebu.

“Saya nak mak ayah!” bentak Ahmad kepada Takdirnya.

“Maka kamu perlu memilih syurga atau ibu bapa kamu.”

Ahmad menekup muka lantas menangis teresak-esak. Dia mengharapkan Takdir akan melakukan sesuatu untuk membantunya, tetapi hampa kerana Takdir hanyalah seorang lelaki tua yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Kecewa, Ahmad mengangkat kepalanya sedikit lalu merenung ke luar. Padang itu kering kontang, luasnya tiada terduga dan terlalu panas sehinggakan tiada sehelai rumput pun tumbuh di tanahnya.

Setelah beberapa ketika, bas semakin jauh meninggalkan padang yang gersang, dan mula memasuki kawasan hutan yang kehijauan, dengan unggas-unggas yang berterbangan di udara.

Perlahan-lahan bas berhenti, pintunya dibuka lembut dan enjinnya dimatikan menandakan ia sudah tiba di akhir destinasi.

Ahmad menjenguk ke luar bas dan kagum melihat kecantikan alam yang tidak terperi.

“Benarkah di dalam syurga, akan ada air sungai susu, dan madu mengalir di dalamnya?”

“Kamu masih berpeluang untuk melihatnya sendiri, Ahmad.”

Takdir bangun dan menghulurkan tangannya kepada Ahmad. Dia mahu menyambut namun segera dibatalkan niat kerana dia masih lagi berbelah bagi antara syurga dan ibu bapanya.

“Tuan Takdir.”

“Ya.”

“Mak dan ayah akan masuk syurga nanti?”

“Apabila selesai perhitungan mereka.”

“Bila?”

“Seperti saya, hanya di dunia sahaja Masa mempunyai kuasa.”

Angin-angin nyaman mulai masuk, memenuhi segenap ruang di dalam bas dan membisikkan kata-kata tentang keindahan syurga.

Ahmad bingung memikirkan keputusan yang perlu dilakukan ketika ini. Mungkin juga syurga adalah penamat yang memang sudah ditakdirkan untuknya dalam kehidupan ini. Tapi bagaimana jika malaikat menghalangnya masuk di pintu itu kelak kerana tindakan ini bermaksud dia berpaling daripada ibu bapanya?

Ahmad masih kaku di situ dan termenung memandang Takdirnya yang masih sabar menunggu.

Categories
BUDAYA RENCANA

Selipar getah

Oleh Muhammad Fareed

Ketika diajak bermalam di rumah adik iparnya hujung minggu itu, perkara pertama yang terbit di fikiran Farhan ialah lantai bilik air. Walaupun diselaputi kepingan jubin kecil yang kesat ketika basah, tapak kaki Farhan tidak pernah betul-betul melekap pada lantai itu. Dari pintu masuk, biasanya dia akan terjingkit-jingkit ke bidet, menggeletar di bawah pancuran air atau tercegat di hadapan cermin. Betisnya pernah beberapa kali diserang kejang kerana terlalu lama berjingkit.

Sehari sebelum bertolak ke sana, dia telah membeli sepasang selipar getah ketika pulang dari kerja. Berbungkus beg plastik, selipar itu disimpan di dalam but kereta, dan dipantau rapi. Ketika isteri dan anak-anaknya menyumbat beg pakaian ke dalam but itu, dia terjingkit-jingkit menjengah dari muka pintu. Walaupun tidak melihat sesiapa menyentuh beg plastik itu, dia tetap membuat pemeriksaan akhir—berhimpit-himpit dengan beg pakaian dan memastikan selipar itu masih berada di dalam plastik.

Dia fikir tiada siapa perasan akan selipar itu. Dari Tol Ayer Keroh menuju ke Tol Sungai Besi, dia dan isteri cuma berbual tentang masalah kerja masing-masing. Tentang bos yang pilih kasih, rakan sekerja yang suka membodek, prestasi merudum kerana tidak mencapai target dan macam-macam lagi. Sehinggalah isterinya tiba-tiba meminta untuk berhenti singgah di mana-mana kawasan rehat atau hentian sebelah kerana perut memulas. Sejurus dia masuk ke sebuah kawasan rehat, isterinya tiba-tiba bertanya.

“Selipar dekat belakang tu siapa punya?”

Farhan yang sedang menggeliat ketika itu tersentak serta-merta. Tubuhnya kekal melengkung beberapa saat sebelum perlahan-lahan ditegakkan semula. Sambil menepuk dahi, dia tiba-tiba mengaduh. Katanya, selipar itu milik seorang rakan pejabat. Dibeli sewaktu mereka keluar makan tengah hari beberapa hari lalu.

“Kalau macam tu, saya guna dululah, eh?” ujar isterinya.

“Kasut saya ni baru lagi. Sayang pula nak bawa masuk tandas.”

Farhan tercengang seketika.

“Eh… mana boleh macam tu. Itukan selipar kawan saya. Nanti dia cakap apa pula.”

“Alah, nanti saya gantilah dengan yang baru. Yang betul-betul sebiji macam selipar tu.”

Namun, Farhan tetap berkeras. Dan dari situ, isterinya mula menarik muncung dan berdiam diri sehingga sampai ke destinasi.

Adik iparnya menetap bersama isteri dan seorang anak kecil di sebuah pangsapuri kos rendah untuk anggota polis di Keramat. Selain perlu termengah-mengah mendaki tangga ke tingkat tiga, ruang parkir yang sempit dan lantai bilik air; Farhan sukakan rumah itu. Tidak seperti rumah teres satu tingkatnya, suhu rumah itu lebih sejuk dan berangin. Dia gemar berdiri di balkoni sambil termenung melihat bukit hijau yang melatari pangsapuri-pangsapuri di kawasan itu. Pemandangan itu, fikirnya, nyaman.

Namun, rasa nyaman itu akan segera lenyap tatkala pundi kencingnya tiba-tiba terasa padat atau perutnya mula memulas. Biasanya dia akan mencapai kunci kereta dan keluar dengan alasan ingin ke kedai. Setelah bergegas menuruni anak tangga, dia akan memandu ke sebuah stesen minyak berdekatan dan melepaskan hajat di situ. Dan dia tidak akan mandi di rumah itu jika datang dan pulang pada hari yang sama.

Dia keluar ke stesen minyak sekali sahaja hari itu. Selepas meneguk dua cawan teh semasa minum petang, dia mencapai kunci kereta dan memberitahu ingin keluar sebentar untuk membeli ubat gigi. Namun, langkah dia terhenti di muka pintu apabila adik iparnya tiba-tiba bersuara.

“Rumah ni banyak ubat gigi, bang. Berlambak dalam kabinet dapur tu.”

“A’ah,” tambah isteri adik iparnya.

“Beli tapi tak guna-guna pun. Yang dalam bilik air itupun tak habis-habis lagi.”

“Ubat gigi apa?” tanya Farhan.

“Ada macam-macam jenis, bang,” balas adik iparnya. “Colgate… Darlie… Mu’min… apa lagi? Marilah tengok.”

Farhan bertinggung di belakang sambil adik iparnya mencapai beberapa kotak ubat gigi berlainan jenama. Selepas meneliti setiap kotak itu, Farhan menggumam.

“Ni semua ubat gigi biasa,” kata Farhan.

“Abang tak boleh guna ubat gigi biasa. Sebab gigi abang belah belakang ni sensitif. Kena guna Sensodyne.”

Farhan kembali ke rumah dengan sekotak ubat gigi Sensodyne yang belum pernah dia gunakan sebelum ini. Selipar itu turut dibawa naik—diselit di dalam baju yang sudah berbau masam kerana menyerap peluh. Selipar itu kemudiannya diselit ke dalam beg pakaian dan dizip rapat.

Menjelang senja, seorang demi seorang masuk ke bilik air. Ketika melangkah keluar, Farhan akan menjeling kaki mereka sambil sesekali meneguk liur. Sisa air yang menitis dari tumit kaki sejurus diangkat dari kepingan jubin kecil itu, bikin tekaknya terasa mual.

Dia pula, cuma masuk ke bilik air itu menjelang tengah malam. Ketika semua orang sudah masuk tidur, dia terketar-ketar di bawah pancuran air bersarungkan selipar itu. Kali ini tidak tergesa-gesa seperti yang lepas-lepas. Setiap pelosok badan dipastikan bersabun dan kulit kepala diurut perlahan-lahan dengan syampu. Sewaktu ingin melangkah ke bawah pancuran air untuk membasuh lumuran buih itu, kakinya tiba-tiba terasa berat. Badannya kaku serta-merta apabila melihat air bertakung di atas lantai. Ketika dia sedar untuk menutup pancuran air, paras takungan itu sudah hampir menjangkau buku lali.

Dada Farhan mula terasa sesak tatkala melihat cecair pekat berwarna hijau membuak-buak keluar dari lubang air dan bertebaran di permukaan takungan. Belum sempat cecair itu menjangkau kakinya, semua hidangan minum petang dan makan malam dimuntahkan. Ia bergumpal dengan cecair hijau itu dan sesekali melanggar kakinya.

Categories
BUDAYA RENCANA

Teratai di pinggiran 

Kota kehidupanmu hanya seluas
jalur tubuh
di tasik ini, bemban dan lalang
memagari raungan.

Sesekali, mata kail mengocak tenang
merobek jemari masa lalumu
engkau tetap bertahan
dalam liar angin cemburu
juga kocakan hujan yang tak pernah
memberi maaf.

Jejak takdir terbenam
di hanyir lumpur, demi tunas cinta
yang tumbuh dari suci hatimu
dan sebening embun singgah
membilas sejuta luka.

Mentari rakus menyeduh usia
kering layu dan pecah di air mata
engkau tegar menjulang kudup harapan
meliuk malu dicumbui pepatung
seharum mimpi yang membahagiakan.

Walau segalanya keruh tak disapa
secuil kenangan yang terpinggir
di pelantar hayat.

Kamal Sujak
Jalan Puisi, Alam Sari

Categories
BERITA UTAMA BUDAYA PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Laporan juri Hadiah Sastera Selangor 2019

SelangorKini terus menjadi wadah sasterawan khususnya golongan muda untuk menyampaikan karya mereka. Lebih 500 karya diterima tahun ini termasuk dari luar negara.

Seramai sembilan ahli panel menilai lebih 100 karya yang diterbitkan dalam tiga kategori iaitu cerpen, sajak dan esei.

Berikut adalah rumusan penilaian panel juri Hadiah Sastera Selangor 2019 yang disediakan oleh ketua juri, Faisal Tehrani. 

Cerpen

Penganjur menyerahkan 42 cerpen kepada juri untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi mencari pemenang utama dan empat lagi hadiah penghargaan.

Cerpen-cerpen itu dari segi gubahannya hampir sama iaitu memberi penekanan kepada aspek bentuk dan struktur cerpen (eksperimental), membawa mood urban-kontemporari, melagakan kerangka falsafah atau menukangi cerita tentang aspek pengkaryaan itu sendiri.

Namun demikian, juri bersependapat mutu karya merosot berbanding tahun lalu kerana secara umum kebanyakan karya kurang masak ideanya. Satu hal yang kekal aneh buat tahun ketiga berturut-turut, juri mengesani banyak cerpen menampilkan kucing sebagai props, watak, subjek dan alat alegori pada tahun ini.

Suatu keunikan karya-karya di SelangorKini ialah pengarang ralit bermain dengan pendekatan absurd seperti yang ternampak dalam karya tahun-tahun 1980-an. Seperti tahun lalu, kritikan sosial ini kadang-kala dihadirkan terlalu berlambang dan pengarang terbawa-bawa bermain dengannya sehingga tujuan utama yang ingin dikemukakan tercapah. Terdapat juga sejumlah cerpen dengan pendekatan satira yang agak memikat, segar dan menonjol.  Jumlah cerpen realisme adalah kecil manakala cerpen-cerpen Islami pula gubahannya terlalu simplistik.

Juri berpendapat sesetengah cerpen masih memiliki kelemahan yang rata-rata sama iaitu idea yang kurang diperam. Sebuah cerpen yang baik juga perlu utuh dari segi rukun dan imbangan komponen karya. Malangnya, terdapat cerpen yang begitu baik tetapi disebabkan penghujungnya meleret dan lewah, ia dialahkan oleh cerpen-cerpen lain yang lebih sederhana tanpa kecuaian dan kelemahan ketara. Secara keseluruhannya, yang membezakan kualiti karya tahun ini antara satu sama lain ialah usaha penulis memanipulasi teknik dan strategi penceritaan; selain penggunaan bahasa yang rapi dan kukuh.

Antara 42 karya; pengarang di SelangorKini ternyata peduli realiti dan masalah zaman meskipun suara karyawan itu kadang-kala hadir dengan nada pesimistik.  Antara isu hari ini yang terangkat adalah polisi pemerintah Malaysia Baharu, pedofil, sikap putus asa terhadap parti-parti politik, penderaan anak-anak, keganasan rumah tangga, pembangunan tidak terancang dan di celah-celah itu terdapat pula karya dengan tema cinta antara dua darjat dan pertembungan aneka gagasan falsafah. Satu dua cerpen dengan gaya cereka Islami menambah rencah saingan Hadiah Sastera Selangor kali ini. Cerpen-cerpen juga dipengaruhi medium seni lain khususnya filem, anime, muzik dan catan.

Seperti tahun-tahun terdahulu, cerpenis di SelangorKini menikmati medan udara bersih untuk bersuara berikutan campur tangan editor adalah minimal dan pengarang tidak terikat dengan nilai moral atau stail rumah penerbitan tertentu.

Setelah berbincang, juri menyenarai 12 cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah “Keanehan yang membakar”, “Perempuan yang tidak ada”, “Bergayutan keresahan di kelopak mata”, “Kotak Haji Amin”, “Pasta kasanova”, “Percakapan ketika mandi”, “Macaca Nemestrina”, “Pasca percintaan”, “Kerusifiksyen: Tentang mengarang cereka di atas kerusi”, “Hari itu, politik cuti sakit”, “Lili” dan “Untuk serasi, kau tak perlukan wajah yang molek”.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama sebahagian pemenang Hadiah Sastera Selangor 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Proses saringan kedua untuk senarai pendek karya terpaksa dilakukan secara undian memandangkan kecenderungan, kerangka pilihan dan cita rasa juri berbeza. Harus dinyatakan, majoriti juri tidak membaca karya itu ketika ia diterbitkan. Mereka tidak mengenali pengarang-pengarang tersebut. Justeru, juri tidak dipengaruhi oleh gaya penulisan, mazhab kepengarangan, gender ataupun kaum.

Setelah perbincangan mendalam, panel juri memutuskan untuk memilih “Pasca percintaan” sebagai penerima pemenang utama. Hadiah-hadiah penghargaan pula diberi kepada pengarang cerpen “Kerusifiksyen: Tentang mengarang cereka di atas kerusi”, “Hari itu, politik cuti sakit”, “Lili”, “Untuk serasi kau tak perlukan wajah yang molek”.

Cerpen “Pasca percintaan” adalah karya satira yang mengisahkan polisi larangan merokok di tempat awam. Juri merasakan tujuan karya itu  dapat dikesani. Penghujung karya sendiri adalah sebuah permulaan untuk sebuah karya seni yang lain. Pengarang juga menampilkan simbol yang menarik iaitu watak rokok yang dihadirkan berasa terancam oleh watak pemetik api, femme fatale, seorang perempuan pemusnah. Sebagai cerpen mikro atau mini, cerpen tersebut memiliki isu yang dapat dipegang, olahan yang baik, dan subjek cerpen tersebut berjaya diketengahkan dalam jumlah perkataan terhad.

Saingan rapat cerpen “Pasca percintaan” adalah “Kerusifiksyen: Tentang mengarang cereka di atas kerusi”. Cerpen itu kuat dari segi pemilihan kata-kata dan pengarang berjaya menguasai bentuk. Ia mengisahkan watak pengarang yang berada dalam dilema ketika berkarya. Namun, karya itu terkesan terlalu abstrak dan meletakkan majoriti juri dalam keadaan meraba-raba akan sebab-musabab ia ditukangi.

“Hari itu, politik cuti sakit” mendapat perhatian juri kerana ia sebuah satira yang boleh dihubungkan dengan isu semasa iaitu sikap sesetengah generasi muda yang menjauhi politik dan non-partisan. Selain merakam sejarah pilihan raya yang mengejutkan keputusannya pada 2018, penceritaannya lancar dan mengalir. Cerpen itu meskipun tampil sederhana tetapi menyerlah berbanding karya lain kerana semua komponen cerpen adalah berimbangan dan tidak terlihat kelemahan ketara.

Sebuah cerpen lain yang juga tidak ada kelemahan ketara adalah “Lili” yang mengingatkan juri kepada cerpen “Kucing non-partisan”, karya tahun lalu. “Lili” mengisahkan seekor anak kucing yang mati muda, kemudian mengalami penjelmaan semula dalam bentuk wanita yang menonjol. Cerpen itu menarik kerana terdapat elemen kejutan iaitu terselit misteri yang sesungguhnya mesti ada pada setiap cerpen mikro. Karya tersebut juga dihiasi pemilihan kata yang segar dan cukup visual.

Cerpen terakhir adalah “Untuk serasi, kau tak perlukan wajah yang molek”. Ia mengisahkan pertanyaan mengenai tradisi oleh seorang watak yang adiknya melangkah bendul. Seperti cerpen-cerpen penghargaan lain, karya itu diolah sederhana dan tidak menampakkan mana-mana aspek kecacatan ketara.

 Esei

 Secara umum, penyertaan pada tahun ini menunjukkan peningkatan. Pertama, dari segi jumlah terdapat 20 penyertaan esei diterima untuk dinilai. Kedua, dari segi kualiti juga terdapat peningkatan dari tahun lalu. Akan tetapi, peningkatan tersebut, kadar perbezaannya agak kecil.

Juri mendapati masih terdapat banyak kelemahan yang dilakukan penulis esei. Secara ringkas, kelemahan yang dapat dilihat pada esei-esei yang dinilai pada tahun ini adalah: Penulis masih sangat terikat dengan ‘rukun’ penghasilan esei seperti yang difatwakan di sekolah. Misalnya, setiap tulisan wajib ada pembukaan/intro, diikuti isi pertama, isi kedua dan seterusnya, dan penutup. Ini menjadikan esei kaku, dan tidak menarik manakala dari segi penutup, esei yang sampai kepada juri gagal memberikan penyelesaian atau kesimpulan mengenai apa yang ingin disampaikan.

Selain itu, terdapat juga kelemahan dari segi lewah dan syok sendiri. Hal ini sangat ketara pada beberapa esei. Misalnya, hal yang mudah sengaja disusahkan. Penjelasan yang lurus sengaja dibengkang-bengkokkan konon untuk menjadikan ia tulisan yang berseni. Lebih malang, ada penulis yang terasa seperti bijak apabila menggunakan beberapa perkataan yang langka tetapi malangnya ia terasa dipaksa-paksa, dan membawa maksud yang ‘sesat’. Tidak dapat dikesan kesatuan idea yang mantap. Kebanyakan penulis cenderung bersandar kepada nama-nama tertentu dan petikan-petikan tertentu. Dalam sesetengah keadaan, ia dirasakan tidak relevan.

Satu hal lain ialah pengarang esei masih tertumpu kepada ulasan filem, buku, atau karya seseorang dan ia mungkin tidak memberi manfaat yang banyak kepada pembaca, kecuali segelintir kecil. Ada beberapa esei juga menulis tentang majlis seni/budaya sedangkan ia sepatutnya esei yang berbentuk semasa dan menyentuh kepentingan majoriti masyarakat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani sampel muka depan buku Si Pena yang menghimpun karya pemenang Hadiah Sastera Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Harus diingat, sesuatu esei ditulis dengan sebab dan keperluan. Ia sepatutnya membawa bersama gagasan atau idea baru dan segar. Dalam erti kata lain maklumat yang ingin disampaikan wajar dapat dikongsi dengan pembaca. Pembaca memperoleh sesuatu selepas selesai membaca, bukannya terkapai-kapai mencari apa yang ingin disampaikan penulis.

Dalam pada itu, juri juga mendapati terdapat esei yang menarik untuk penerbitan tetapi kurang sesuai untuk dinilai. Misalnya, esei berbentuk transkripsi. Pun begitu ada beberapa peningkatan yang menarik pada esei yang dinilai. Misalnya, esei yang menjadi pemenang utama membawa idea yang segar dan kontemporari namun masih berakarkan tradisi.

Penulis yang terpilih sebagai pemenang juga berjaya menyampaikan gagasan dengan jelas, lancar dan sesekali bersahaja. Ia menjadikan tulisan mereka tidak menjemukan.

Sebagai cadangan, juri berpendapat SelangorKini wajar mencari jalan untuk menggalakkan lebih ramai penulis menghantar esei berkualiti. Mereka juga perlu difahamkan bahawa ulasan yang diperlukan bukanlah semata-mata mengenai buku, filem, sastera dalam bentuk yang jumud.

Esei yang diperlukan ialah tulisan mengenai hal-hal seni atau budaya yang segar dan semasa. Ia perlu mengikut perubahan dan bukan lagi berkisar mengenai misalnya – A Samad Said, Usman Awang, WS Rendra, Mohd Affandi Hassan semata-mata. Juri menggesa penulis agar berani keluar dari kepompong yang telah lama mengikat mereka.

Setelah perbincangan mendalam, kami memilih esei “Evolusi peribahasa, dari unsur alam ke teknologi” sebagai pemenang utama manakala hadiah penghargaan pula ialah “Kompleksiti Cinderella kental dalam novel popular”,

“Disiplin kritikan dan sikap penulis”, “Realisme magis dalam pencerekaan Azrin Fauzi ” dan “Menukang puisi tidak semudah bermain domino”.

Sajak

Sebanyak 44 sajak dikemukakan kepada untuk dinilai bagi tahun ini. Lima karya yang terpilih menjadi pemenang dipilih daripada 17 sajak yang disenarai pendek.

Mutu sajak pada tahun ini umumnya baik tanpa ada sajak yang terlalu lemah seperti tahun lalu. Jurang antara karya yang bagus dan tidak bagus juga tidak terlalu jauh. Barangkali ini menunjukkan SelangorKini berjaya menarik lebih banyak pengkarya yang tekun menulis sajak.

“Sajak untuk sebuah Mei” dipilih sebagai pemenang utama atas pertimbangan kekuatan seni, wacana, pengucapan dan pemilihan kata yang segar, spontan dan tidak dipaksa-paksa, gagasan yang jelas dan penggunaan perlambangan yang menarik serta tidak klise. Pemilihan ungkapan yang segar dan bermakna, misalnya ditemukan pada bahagian ini yang menghasilkan pengalaman membaca yang segar: “… dan kita pun mengukir arca; buat mengenang poster dan pamflet; tanda yang terbangun dari impi anak manusia”.

Sajak itu mencabar daya imaginasi dan pemikiran dengan ungkapan yang mempunyai daya kejut. Penggunaan perlambangan yang segar juga menjadikan sajak ini terkehadapan berbanding sajak lain. Gaya penceritaan sajak pula dapat dinikmati menerusi jalinan diksi yang cermat tetapi terasa bersahaja.

Empat sajak lain yang diberi hadiah penghargaan iaitu “Catatan yang direnyuk ke dalam kasut seorang politikus”, “Hujan, bagimu bau. Dan bagiku pemuzik yang menukik kepalaku”, “Kemarau di hujung waktu” dan “Perempuan, sihirku” mempunyai kekuatan setara dengan menawarkan nilai puisi yang tidak kurang tingginya.

Rata-rata puisi mempunyai kekuatan tersendiri dengan menampilkan kepelbagaian tema dan kawalan bahasa dan diksi yang tersusun baik. Suatu perkara yang menarik perhatian ialah kebanyakan sajak mempamer kemampuan penyajak untuk meluahkan gejolak rasa terhadap perkembangan sosial dan politik semasa secara matang menerusi persembahan yang halus dan berseni.

Setelah perbincangan yang melelahkan, juri memutuskan “Sajak untuk sebuah Mei” sebagai pemenang utama manakala hadiah penghargaan pula ialah “Catatan yang direnyuk ke dalam kasut seorang politikus”, “Hujan, bagimu bau. Dan bagiku pemuzik yang menukik kepalaku”, “Kemarau di hujung waktu” dan “Perempuan, sihirku”

 Rumusan

Panel juri ingin memberikan kredit kepada SelangorKini, kerajaan negeri Selangor dan editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi tanpa sebarang prejudis. Juri juga bersepakat menganjurkan SelangorKini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan terus diberi perhatian dan sokongan.

 

Ketua juri:  Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani)

Panel: Wan Nor Azriq Wan Mokhtar, Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, Jimadie Shah Othman, Rozlan Mohamed Noor, Al-Abror Mohd Yusuf, Noor Azam Shairi dan Ku Seman Ku Hussain