Categories
NASIONAL

Sikap pemurah punca lambakan pengemis asing

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 MEI: Sikap pemurah rakyat Malaysia dipercaya menjadi punca lambakan pengemis terutama dalam kalangan warga asing di negara ini.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Roslan Baba berkata, golongan pengemis menggunakan pelbagai cara bagi meraih simpati rakyat Malaysia.

Katanya, ia termasuk memperlihatkan tahap kesihatan kurang baik mereka dan kanak-kanak sehingga mampu meraih sehingga RM100 dalam tempoh tiga jam.

“Ada pengemis menggunakan kaedah keagamaan dalam mengutip derma sehingga mengelirukan masyarakat.

PENGEMIS 1“Adakala pendapatan mereka mencecah ribuan ringgit.

“Sekiranya mereka golongan asnaf, kerajaan mempunyai saluran untuk membantu,” katanya dipetik Bernama.

Beliau dilapor berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai kempen membanteras pengemis di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di Kota Bharu, semalam.

Roslan berkata, kira-kira 95 peratus pengemis di Kelantan adalah warga asing daripada Thailand, Myanmar dan Kemboja.

“Kebanyakannya dipercayai menyewa rumah di sini dan sekiranya ditangkap mereka akan dihantar pulang ke negara asal.

“Namun mereka tidak serik untuk kembali ke sini kerana jarak dekat.

“Jadi, kita amat berharap masyarakat dapat bersama dalam kempen membanteras pengemis sebelum ia menjadi ‘wabak’ dalam masyarakat negara ini,” katanya.