Categories
SELANGOR

Suka duka si pengusaha cendawan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 MEI: Selepas 12 tahun berdepan jatuh dan bangun, Hazlanshah Baharuddin kini boleh berbangga apabila produk penanaman cendawannya dipasarkan ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, kejayaan diraih pemilik Jeram Organic Farm Enterprise itu tidak datang begitu sahaja, sbealiknya beliau terpaksa melalui pelbagai cabaran termasuk mengalami kerugian lebih RM40,000 ekoran tidak memiliki ilmu secukupnya dalam bidang terbabit.

“Ekoran tiada ilmu, kami ditipu orang tengah yang membekalkan habuk kayu. Sebanyak 40,000 bongkah semaian tidak mengeluarkan hasil dan akhirnya saya dapat tahu mereka menggunakan habuk kayu getah yang dicampur dengan kayu hutan.

“Pada masa itu saya dimarahi teruk pelanggan hingga saya terpaksa mengambil masa kira-kira empat hingga lima tahun untuk bangkit,” katanya kepada SelangorKini.

Hazlanshah, 43, berkata kerugian itu tidak mematahkan semangatnya dan beliau mula mengatur langkah dengan mendalami ilmu berkenaan perusahaan cendawan melalui pelbagai agensi antaranya Jabatan Pertanian Selangor.

IMG-20170529-WA0015Katanya, ilmu diperolehi itu bukan sahaja dapat mengelakkan kejadian ditipu berulang kali, malah turut membantu meningkatkan pengeluaran produk syarikatnya.

“Selepas itu, saya tidak menggunakan orang tengah lagi tetapi mengambil terus bahan dari kilang dan dengan ilmu yang ada, syarikat kami mampu membekal peralatan penanaman cendawan seperti benih, ‘leher’ dan plastik ke seluruh negara.

“Kami juga menganjurkan kursus asas penanaman cendawan yang disertai bakal pengusaha cendawan seluruh Malaysia supaya mereka ini mempunyai ilmu secukupnya, sekali gus mengurangkan risiko kerugian seperti yang pernah saya alami,” katanya.

Jeram Organic Farm kini menerima sijil Organik Malaysia atas pengeluaran cendawannya.

Syarikat terbabit turut menghasilkan pelbagai produk berasaskan cendawan seperti rendang cendawan, tempura cendawan sejuk beku, popia cheezy cendawan, serunding cendawan, cendawan goreng, minuman kesihatan cendawan dan pulut panggang cendawan.

Orang ramai yang berminat menceburi bidang terbabit boleh hubungi talian 012-2704271 atau 017-3123911.