Categories
SELANGOR

Sukan Rakyat DUN Sementa Meriah

OLEH LIZAWATI MADFA

KLANG, 8 MEI: Sukan Rakyat Pusat Khidmat Rakyat DUN Sementa di Bandar Sultan Suleiman semalam berlangsung meriah dengan lebih 200 peserta terlibat dalam pelbagai acara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, penganjuran aktiviti berkenaan bertujuan menyemarakkan kembali permainan tradisi dalam kalangan rakyat.

“Dengan adanya aktiviti seperti ini, anak-anak juga dapat belajar dan mngenali permainan sukan rakyat yang mungkin sedikit tenggelam berbanding gajet pada masa kini.

SUKAN RAKYAT SEMENTA 1“Ia juga bagi menggalakkan gaya hidup sihat selain merapatkan hubungan silaturrahim sesama penduduk sekitar,” katanya yang menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah.

Seawal jam 8 pagi, penduduk setempat mula membanjiri padang futsal di situ bagi menyertai pelbagai acara sukan rakyat.

Antara yang paling mencuri perhatian adalah permainan tarik tali, diikuti carom dan congkak.

Selain pertandingan sukan, turut diadakan kelas membuat ‘de çoupage’ anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Sementa untuk pengunjung berdaftar.