Categories
SUKANKINI

Tidak cukup nafi kejayaan Singapura

OLEH HAFIZAN TAIB

SINGAPURA, 7 MEI: Walaupun Pilihan Selangor memberi cabaran hebat kepada Singapura untuk meraih Piala Sultan Selangor, namun ia masih belum mencukupi bagi mencipta kejayaan.

Dalam perlawanan di Stadium Nasional, di sini, pasukan seberang Tambak Johor itu mengekalkan kejuaraan dengan mengalahkan Pilihan Selangor 3-2.

“Apabila kita gagal dengan penalti (menjaringkan gol) ia memberi kelebihan kepada lawan.

“Tentunya saya kecewa kerana kita juga gagal menyudahkan beberapa peluang terhidang bagi menghasilkan gol,” kata jurulatih Pilihan Selangor, E Elavarasan dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Beliau berkata, sebagai sebuah pasukan kelab (PKNS FC), pasukannya berjaya memberi cabaran kepada pilihan Singapura yang ternyata lebih baik dengan jentera serangan memberikan tekanan kepada pasukannya.

Katanya, bagaimanapun Pilihan Selangor berjaya mencabar hebat terutama pada separuh masa kedua dengan beberapa percubaan tetapi hanya gol dicarikan tidak diperoleh.

IMG_20170506_232450“Jika keputusan menjadi 3-3 dan perlawanan perlu ditentukan dengan sepakan penalti, saya kira lebih adil tetapai tidak adil pula untuk pilihan Singapura kerana mereka bermain lebih baik,” katanya.

Ketua pasukan Pilihan Selangor, Safee Sali gagal menjaringkan gol pada minit ke-52 bagi merapatkan jurang selepas ketinggalan 2-0 tetapi menebus kesilapan dengan jaringan pertama hasil percubaan bahaya ke jaring lawan sepuluh minit kemudian diikuti jaringan Gonsalo Soto (m76).

 

Bagaimanapun, dua gol itu tidak cukup untuk menafikan penguasaan pilihan Singapura dengan tiga gol dijaringkan Khairul Nizam (m10), Shakir Hamzah (m43) dan Faris Ramli (m59).

Jurulatihnya, Fandi Ahmad berkata, barisan pemainnya berjaya menyerap tekanan Pilihan Selangor dengan permainan berkesan dan tersusun.

“Kita berjaya dengan gerakan tersusun melalui gandingan mantap pemain disertai sokongan penonton sepanjang perlawanan.

“Akhirnya kita berjaya dan kejayaan ini tentunya menggembirakan,” katanya.