Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Henti sebar fitnah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 MEI: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengecam perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggugat kestabilan Kerajaan Selangor dengan penyebaran berita palsu.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyebaran fitnah itu membuktikan pihak lawan tergugat dengan keupayaan PAKATAN memerintah negeri berkenaan.

Beliau mendakwa perbuatan pihak lawan itu adalah Barisan Nasional (BN) yang menggunakan laman sesawang picisan dan ‘cybertrooper’ untuk menyebarkan spekulasi yang langsung tidak berasas.

“Perlu diingatkan bahawa Kerajaan Selangor sedia ada diberi mandat besar pada 2013 untuk mentadbir negeri,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, perbezaan pandangan dalam kalangan politik di negeri itu tidak menghalang Kerajaan Selangor menumpukan kepada isu rakyat.

“Selangor adalah negeri majmuk yang kian makmur dengan kejayaan tadbir urus Kerajaan Negeri.

“Berpegang pada amanah ini, kita berjaya melaksanakan tugas berdasarkan manifesto dijanjikan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah portal media BN mendakwa Kerajaan Selangor boleh berubah tampuk pemerintahan kepada BN dengan hanya satu ‘deal and accept’.