Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tumpu kebajikan nelayan, Sultan Selangor lawat Jeti Bagan Sekinchan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 22 MEI: Pembangunan kebajikan nelayan seluruh negeri mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Komitmen itu dizahirkan baginda menerusi lawatan rasmi baginda ke Jeti Bagan Nelayan, di sini.

Diiringi Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Isteri, Datin Seri Shamshida Taharin dan delegasi pimpinan Kerajaan Negeri, lawatan diadakan sebagai sebahagian inisiatif lawatan rasmi baginda ke Sekinchan, hari ini.

SULTAN SEKINCHAN (1)Tumpuannya ke arah mendekati masyarakat luar bandar dan melihat sendiri perkembangan pelbagai aspek kebajikan dan keperluan industri di Sekinchan.

Pada masa sama, Jeti Bagan Nelayan Sekinchan adalah kawasan pengumpulan sumber perikanan khusus bagi Parlimen Sabak Bernam.

Difahamkan, jeti berkenaan berpotensi untuk diangkat sebagai lokasi agro pelancongan terkenal sekiranya dibangunkan secara konsisten di peringkat nasional.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan RM3.1 juta bagi proses pembaikan dan jeti baharu di seluruh negeri.

Daripada jumlah itu, peruntukan juga disalurkan bagi projek pembaikan jeti secara berperingkat bagi merancakkan lagi ekonomi perikanan negeri.