Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri titah bersederhana rai Tahun Baharu Cina, patuh SOP

SHAH ALAM, 31 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menitahkan rakyat supaya bersederhana ketika meraikan Tahun Baharu Cina esok.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin juga mengingatkan rakyat supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengelak perebakan Covid-19.

Baginda berdua juga berharap perpaduan, toleransi dan keharmonian antara kaum terus erat melalui perayaan berkenaan.

“Di samping melestarikan budaya turun-temurun demi kelangsungan sahsiah diri generasi akan datang,” titah baginda di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

DYMM tuanku dan Tengku Permaisuri turut menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Selangor yang meraikan perayaan tersebut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan rasmi kilang proses makanan berasas tumbuhan pertama di Asean

SHAH ALAM, 8 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan berangkat menyempurnakan perasmian pusat pengeluaran makanan berasaskan tumbuhan pertama di Asean.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di Facebook berkata kemudahan milik Nestle Malaysia Berhad di Shah Alam itu juga merupakan dua kilang seumpamanya di Asia.

“Sejurus merasmikan pusat berkenan, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dibawa melawat ke kemudahan pengeluaran makanan berasaskan tumbuhan itu yang akan menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan bukan hanya bagi memenuhi pasaran tempatan malah untuk dieksport,” katanya.

Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Nestlé (Malaysia) Bhd Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Semalam, Nestle membuka kilang pembuatan penyelesaian makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan pertamanya di Asean bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap segmen makanan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Juan Aranols berkata Nestle melabur sebanyak RM150 juta untuk kemudahan di Kompleks Industri Shah Alam.

“Kilang pengeluaran di Shah Alam ini membolehkan kami membekalkan produk makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai kualiti tinggi, lazat dan disahkan halal,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan sokong Johor gesa kerajaan rayu keputusan mahkamah isu kalimah Allah

SHAH ALAM, 23 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyokong DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang menggesa Kerajaan Persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam.

“Beta juga berkesempatan untuk membaca titah yang dizahirkan oleh DYMM Sultan Johor dan menyokong penuh titah Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut,” titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Dalam kenyataan media hari ini, Sultan Selangor juga menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk memohon mahkamah itu sebagai pencelah dalam rayuan tersebut.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, mahu Kerajaan Persekutuan meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan lain dalam penerbitan penganut Kristian bagi tujuan pendidikan.

Dalam kenyataan media sama, Sultan Selangor bertitah golongan bukan Islam dilarang sama sekali menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

“Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Negeri Selangor,” titah Baginda.

Dalam kenyataan akhbar hari ini, Baginda bertitah kalimah Allah itu hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi pegangan akidah umat Islam.

“Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam,” titah Baginda lagi.

Pada 10 Mac lalu, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan tiga pengisytiharan deklarasi oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Mahkamah turut memutuskan selain kalimah Allah, tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah Kaabah, Baitullah dan solat.

Nor Bee dalam penghakimannya, berkata penerbitan buku agama atau bahan keagamaan Kristian yang menggunakan empat perkataan itu bagaimanapun hendaklah disertakan dengan penafian (disclaimer) dan lambang salib pada kulit buku.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan titah rakyat segera daftar terima vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 19 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan rakyat supaya segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, pada masa sama Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan rakyat supaya tidak lalai sekiranya sudah menerima suntikan berkenaan.

“Terus patuhi amalan norma baharu serta tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan fizikal demi mengawal wabak Covid-19 dari terus merebak,” titah baginda.

Sementara itu, Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melaporkan kira-kira 5.87 juta individu sudah mendaftar bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera.

Twitter JKJAV menunjukkan Selangor mencatatkan pendaftaran tertinggi bagi penerimaan vaksin iaitu hampir 1.7 juta individu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB sedia menghadap Sultan dapatkan nasihat keperluan sidang DNS

SHAH ALAM, 14 MAC: Keperluan pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ketika proklamasi darurat ketika ini akan dibincang dalam mesyuarat EXCO berikutan terdapat isu semakan semula Belanjawan 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau juga akan menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat untuk tujuan itu selain Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj terlibat pada sesi pembukaan DNS.

“Pembukaan sepatutnya bulan ini namun boleh tangguh selagi darurat berlaku tetapi undang-undang boleh digubal.

“Jika ada keperluan Kerajaan Negeri boleh memanggil Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk bersidang. Bagaimanapun akan dapatkan nasihat Sultan Sharafuddin sebelum serah kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Terdahulu beliau meninjau pangsapuri Blok 48, Seksyen 7 di sini yang mengalami masalah bumbung.

Amirudin berkata sekiranya sidang DNS tidak berjalan, pihaknya akan mengambil alternatif lain dengan memanggil semua ADN untuk sertai sesi soal jawab.

“Perkara ini akan berjalan secara rasmi atau tidak rasmi. Jadi melalui cara ini kita boleh mendengar pandangan mereka,” katanya.

Pada 12 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah membendung wabak Covid-19.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan titah rasuah dibanteras, pelaku diadili segera

SHAH ALAM, 4 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bertitah supaya pelaku rasuah dibanteras segera bersandarkan bukti kukuh dan pengadilan di mahkamah.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah tindakan itu perlu diadili dengan pantas supaya menjadi taulan kepada masyarakat untuk menjauhi kegiatan terbabit.

“Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes rasuah berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

“Oleh yang demikian, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah.

Sultan Sharafuddin bertitah rasuah dan fitnah semakin berleluasa ketika ini juga adalah musuh utama yang menular dalam masyarakat serta dikhuatiri mampu menghancurkan negara.

Titah baginda kedua-dua perbuatan itu menjadi punca perpecahan dalam situasi politik negara seterusnya mencemarkan reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa.

“Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu,” titah baginda lagi.

Justeru, baginda menasihatkan rakyat supaya memainkan peranan menghentikan perbuatan tidak bermoral kerana boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.

Sebelum ini, Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020.

Skor Malaysia juga menurun dua mata kepada 51 daripada 100 mata berbanding tahun sebelumnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan: Kes Covid-19 tinggi, bilangan jemaah dihad demi keselamatan

SHAH ALAM, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan bilangan jemaah di masjid dihadkan demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam.

Berdasarkan kenyataan Selangor Royal Office, baginda bimbang jika menghadkan jumlah jemaah tidak dilaksana risiko peningkatan kes mungkin berlaku melihat kepada angka kes Covid-19 di negeri itu.

Baginda memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di negeri ini yang belum boleh berjemaah solat fardu dan solat Jumaat di masjid kerana mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, beta kesal kerana ada segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya pentingkan diri sanggup memudaratkan jemaah lain jika masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.

“Ketika ini, jumlah kes positif di Selangor telah mencecah lima digit dan tiga digit bagi angka kematian. Beta tidak mahu lebih ramai lagi mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian,” titah baginda dalam kenyataan.

Baginda turut menyeru tiada lagi pihak bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan dibuat sebulat suara pihak berwajib demi keselamatan umat Islam.

Tegas baginda, masjid dan surau ditutup tidak bererti amal ibadah juga terhenti sebaliknya boleh dilakukan di kediaman.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan perkenan pindaan Enakmen LUAS, pesalah berdepan hukuman berat

SHAH ALAM, 8 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah pencemar sumber air.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan itu ia akan dikuatkuasakan serta-merta dan dikenakan kepada pencemar.

“Tahniah kepada para petugas LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi Kerajaan Negeri kerana telah berjaya dengan pantas mengenal pasti sumber pencemaran dan menyelesaikan isu tersebut tanpa mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Pada 9 November, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Air Urus Selangor yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta.

Malam tadi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam manakala LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 pada jam 1 pagi selepas pencemaran dikesan.

Bagaimanapun Air Selangor menerusi kenyataan memaklumkan keempat-empat LRA itu kembali beroperasi antara jam 3.30 hingga 5 pagi selepas bacaan 0 TON direkodkan tiga kali berturut-turut.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan seru rakyat kukuh perpaduan, keharmonian antara kaum

SHAH ALAM, 16 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian antara kaum khususnya rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Rakyat sewajarnya mensyukuri kemakmuran dan keamanan yang dikecapi selama ini dan berusaha mempertahankannya daripada anasir-anasir negatif dari luar, demi kelangsungan bangsa Malaysia,” titah baginda menerusi Facebook Selangor Royal Office sempena sambutan Hari Malaysia ke-57 hari ini.

Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia 2020 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin solat Jumaat di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 31 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer di sini.

Keberangkatan baginda di sambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid.

Turut berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sementara itu, khutbah Jumaat bertajuk Zakat Fitrah Pelengkap Ramadan disampaikan Imam 1 Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Ustaz Rijal Yaacop.

Beliau berkata perintah membayar zakat fitrah merupakan satu rahmat kepada umat Islam.

“Melalui zakat fitrah yang diberikan Allah menjanjikan keampunan dan penyucian daripada dosa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa,” katanya.

Selesai solat, baginda dan Tengku Amir turut bersalam dengan orang ramai yang teruja untuk menatap wajah kedua-duanya dari dekat.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor berkenan rasmi Masjid Kompleks Pertanian Serdang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 27 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Kompleks Pertanian Serdang yang telah siap dinaiktaraf pada 2016.

Masjid yang dibina pada 1929 itu menjalani kerja penambahbaikan berikutan pertambahan ahli kariah, saban tahun.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Selangor kira-kira jam 6.15 petang disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Yang turut hadir menyambut ketibaan baginda ialah Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sultan Sharafuddin pada majlis itu turut berkenan menyertai majlis berbuka puasa bersama rakyat dan kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Terdahulu, Masjid Kompleks Pertanian Serdang yang terletak di dalam sebahagian daripada kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) asalnya diperbuat daripada kayu yang boleh memuatkan 700 orang jemaah.

Namun pada 1956, ia dinaiktaraf untuk menampung kira-kira 1,000 jemaah, peningkatan itu berlaku disebabkan kewujudan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan taman-taman perumahan yang berdekatan.

Sementara itu Roslinah dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat berkata, masjid yang memulakan pembinaan semula pada tahun 2012 itu mampu menampung seramai 4,000 jemaah.

Katanya, peruntukan bagi pembinaan masjid baharu itu adalah melalui hasil kutipan dana dan sumbangan oleh orang ramai, termasuk Lembaga Zakat Selangor yang turut memberi dana.

“Dengan berkat dan usaha jawatankuasa serta kariah masjid sejak tahun 2008, peruntukan yang berjaya diperolehi melalui kutipan sumbangan selama empat tahun adalah berjumlah RM 8.3 juta.

“Pembinaan masjid ini mengambil masa selama empat tahun dan selesai pada tahun 2016,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor terima bayaran zakat perniagaan RM10.8 juta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 20 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat bernilai RM10,835,939.03 juta pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini hari ini.

Enam syarikat korporat berkenaan adalah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang diwakili Pengurus Besar Kewangan, Ahmad Rizal Omar, menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,414,826, diikuti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman yang mengeluarkan zakat sebanyak RM1,761,293.03.

Kumpulan Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan, Dato’ Mohamed Raffe Chekku menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,339,820, manakala Universiti MAHSA yang diwakili Pengerusinya, Prof Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah menunaikan zakat berjumlah RM1,320,000.

Sementara itu, Sime Darby Property diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Hashimi Al Bakri mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000 dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mewakilkan Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohamed menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.

Pada majlis yang sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 70 asnaf fakir, 211 asnaf miskin dan 53 asnaf mualaf sebanyak RM500 setiap seorang membabitkan jumlah zakat RM219,500.

Baginda juga berkenan menyampaikan insentif berjumlah RM10,000 kepada Johan Qari Peringkat Antarabangsa 2019, Abdul Khair Jalil.

Sultan Sharafuddin kemudiannya bersama hadirin berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta tarawih.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi isteri, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari

Hadir sama, Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid.