Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Uptown Shah Alam bakal berwajah baru

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MEI: Pasar Muhibbah atau lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam di Seksyen 24 akan dibangunkan semula Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan konsep Bugis Moden bagi memperkasakan agenda keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, PKNS menyahut saranan Kerajaan Negeri dengan mengenal pasti tanah seluas 6.3 ekar untuk membangunkan kompleks Uptown baru yang lebih selesa dan kemudahan keselamatan lebih baik.

Katanya, inisiatif pembangunan itu menyasarkan Uptown Shah Alam sebagai satu lagi mercu tanda di bandar terbabit yang menjadi tumpuan pelancongan dari dalam dan luar negeri.

“Pembinaan Uptown Shah Alam ini memperuntukkan kos pembangunan RM30 juta yang akan bermula Oktober ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun, pada Oktober 2019.

“PKNS mengharapkan Uptown Shah Alam bakal disenaraikan sebagai destinasi wajib dikunjungi buat pelancong yang datang ke negeri ini kelak,” katanya.

Majlis pecah tanah disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sambil disaksikan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

PKNS NORAIDAKompleks baru ini bakal dilengkapi 460 unit gerai meliputi 240 unit perniagaan dan kemudahan awam dengan keluasan 57,719.32 kaki persegi di tingkat bawah terdiri daripada gerai makan, pentas, tandas awam serta taman.

Manakala, 220 unit lot perniagaan pelbagai dibina di tingkat atas serta ruangan seperti tandas aaam, lot promosi, surau dan pejabat dengan keluasan lantai keseluruhan 42,141.79 kaki persegi.

Selain itu, ruang parkir kenderaan kondusif turut disediakan dengan anggaran 519 unit kenderaan dalam satu-satu masa.

Uptown Shah Alam mula beroperasi sejak 2006 terdiri dari 442 unit gerai perniagaan merangkumi Blok A dan Blok B.

Kompleks ini pernah dikejutkan dengan insiden kebakaran Blok B pada 15 Oktober 2014 yang memusnahkan hampir 182 buah gerai dan kerugian RM20 juta.