Categories
SELANGOR

Uptown Shah Alam mampu tingkat pendapatan peniaga

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MEI: Kerajaan Negeri yakin dengan pembinaan bangunan baru Kompleks Muhibbah atau lebih dikenali sebagai Uptown Shah Alam oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mampu meningkatkan pendapatan peniaga, pada masa akan datang.

AzminDato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri mahu memberdaya peniaga di Uptown Shah Alam selain membuka peluang pekerjaan baru, di sana.

“Dengan kemudaham moden, saya yakin akan membantu peniaga meningkatkan pendapatan masing-masing dengan jaminan kualiti produk,” katanya.

Dalam ucaptama Majlis Pecah Tanah Uptown Shah Alam, beliau berkata, Kerajaan Negeri mahu setiap peniaga melonjakkan produktiviti dengan kualiti terbaik dan meningkatkan pendapatan.

Katanya, bangunan baru kompleks Uptown Shah Alam berkonsepkan ‘Bugis Moden’ itu juga bakal dilengkapi dengan jaringan jalur lebar (wifi) berkelajuan tinggi sebagai usaha memperluaskan perniagaan menerusi konsep atas talian atau E-Dagang.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri yakin PKNS mampu melatih lebih ramai peniaga baru melalui anjuran pelbagai kursus sebelum ini.