Categories
SELANGOR

Uptown Shah Alam: Kadar sewa berpatutan akan diberikan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MEI: Kerajaan Negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mempertimbangkan kadar sewa tapak perniagaan yang berpatutan sesuai dengan kemudahan disediakan selepas bangunan Kompleks Uptown Shah Alam baru siap dibina.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri dan PKNS akan terus memastikan peniaga dapat menjalankan perniagaan seperti biasa sepanjang tempoh pembinaan di kawasan sementara tanpa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

“Kita siapkan satu kemudahan termoden dan cukup canggih dan memastikan kadar sewa itu berpatutan serta mampu untuk peniaga tetapi pada masa sama kita tidak mengganggu perniagaan mereka, sepanjang tempoh pembinaan.

AZMIN ALI (2)“Sekiranya ada gangguan dan terputus perniagaan mereka sudah tentu membebankan. Ini semua Kerajaan Negeri dan PKNS tampung termasuk pembinaan tapak sementara supaya pendapatan mereka tidak terputus,” katanya.

Bercakap kepada media selepas menyempurkan Majlis Pecah Tanah Uptown Shah Alam, beliau berkata, berdasarkan makluman diperoleh peniaga yang berniaga di Uptown Shah Alam itu adalah orang tempatan sejak ia mula dibuka, pada 2006.

“Saya sudah memberikan arahan supaya pastikan peniaga asal diberikan keutamaan daripada segi unit yang akan diagihkan dan ia perlu dibuat secara adil mengikut corak perniagaan yang dijalankan,” katanya.

PKNS memperuntukkan kos pembangunan Uptown Shah Alam berkonsepkan Bugis Moden sebanyak RM30 juta yang akan bermula Oktober ini serta dijangka siap dalam tempoh dua tahun, pada Oktober 2019.